Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Selepas kejayaan teater ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ pada Oktober tahun lalu, Mohd Zulkamal Ismail atau nama penanya Joe K.A.S tampil mempertaruhkan teater ‘Janji Presiden’ bakal menggegarkan pentas Dewan Budi Siswa Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok jam 8.30 malam pada 26 dan 27 Jun ini.
Teater ‘Janji Presiden’ karya Joe K.A.S merupakan tokoh Penggiat Teater Kedah tersohor di utara tanah air yang sering mementaskan teater dan mengendalikan bengkel teater untuk remaja dan kanak-kanak.
Menurut Joe K.A.S pementasan ini dianjurkan oleh Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, dan Kelab Teater Warna UUM.
“Skrip ‘Janji Presiden’ pernah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera yang diterbitkan oleh DBP pada April 2023 dan belum pernah dipentaskan lagi,”katanya.
‘Janji Presiden’ berkonsepkan satira komedi disampaikan dalam gaya penceritaan ringan dan dekat dengan penonton yang mengisahkan Tuan Presiden berjanji akan meletak jawatan sekiranya seluruh warga Wilayah Kozambo hidup aman damai tanpa persengketaan.
Ada pergerakan refomis mendesak agar Tuan Presiden segera melepas jawatan dengan membuat tunjuk perasaan. Wak Nujum membuat ramalan kepada sebutir bintang yang baharu muncul. Ramalannya mengatakan yang berkemungkinan akan hadir pemimpin baharu.
Wakil Presiden datang membawa perutusan dari Tuan Presiden menyeru semua warga Wilayah Kozambo yang berpecah kepada tiga puak itu kembali hidup aman damai dan bersatu padu jika ingin beliau melepaskan jawatannya.
‘Janji Presiden’ menampilkan barisan pelakon yang bakal memukau penonton seperti Haikal (Tok Ampu); Schya Syukor (Wakil Presiden), Afif khairullah (Warga 1); Adam Najmi (Warga 2), Hasbullah (Warga 3), Zaafarani Zaruwi (Reformis Tua), Muhammad Mifdhal (Refomis Muda), Zul Helmi (Rakan Reformis), Khairil Azwardy (Wak Nujum), dan Shaiful Amir (Pembantu Nujum).
Peminat seni dan orang ramai jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pementasan teater ini yang sarat dengan adegan menarik, dan mencuit hati penonton.
Tiket berharga RM15 untuk dewasa manakala RM10 untuk pelajar, telah mula dijual dan sebarang pertanyaan sila hubungi Joe K.A.S (017-5697045), Cik As (017-5402622) atau Mamatuah (017- 4838745) – SUARA.TV



