SEREMBAN – Enam Pembesar Pemerintah Negeri Sembilan telah menghantar notis kepada Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli bin Raja Nordin, supaya satu sidang khas diadakan bagi membincangkan kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat negeri itu.
Menurut surat itu, sidang khas tersebut dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 29 Mei 2026, jam 9 pagi di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin.
Enam Pembesar Pemerintah yang dinamakan dalam surat itu ialah Undang Luak Sungei Ujong, Yang Teramat Mulia Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, Yang Amat Mulia Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.
SuaraTV diberi peluang melihat surat bertarikh 21 Mei 2026 itu oleh pihak ketiga.
Enam Pembesar Pemerintah terbabit mengingatkan Setiausaha DKU bahawa ia merupakan permintaan majoriti ahli DKU sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam surat sama, mereka turut merujuk Perkara 16(1) dan 16(3) undang-undang tubuh itu yang dikatakan memberi kuasa kepada DKU untuk membincangkan sebarang persoalan berkaitan adat dalam Negeri Sembilan serta sebarang persoalan berhubung kewajipan menurut perlembagaan negeri.
Surat itu juga merujuk Perkara 22(1) dan 22(2) bagi meminta Setiausaha DKU menyediakan dan mengemukakan draf peringatan mesyuarat bagi sidang bertarikh 4 Julai 2025, 5 Mac 2026 dan 17 April 2026.
Selain itu, Perkara 24 turut disebut sebagai asas untuk menjemput semua ahli DKU menghadiri sidang khas berkenaan.
Menurut surat itu lagi, Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara diminta hadir sebagai pemerhati bebas, selain sebarang jemputan lain yang lazim hadir dalam sidang rasmi pemerhati bebas.
Agenda sidang khas itu dikatakan khusus untuk membincangkan isu-isu berkaitan kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat yang didakwa semakin meruncing di Negeri Sembilan.
Difahamkan, surat tersebut turut memaklumkan bahawa semua ahli DKU diwajibkan hadir ke sidang khas berkenaan selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh enam Pembesar Pemerintah terbabit.
Salinan surat itu juga difahamkan telah dihantar kepada beberapa pihak termasuk Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar Negeri Sembilan, Peguam Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Negeri Sembilan dan Ketua Polis Negeri Sembilan. – SuaraTV



