Telefon bimbit MB Johor berdepan ancaman pencerobohan digital

JOHOR BAHRU – Telefon bimbit Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berdepan ancaman pencerobohan digital selepas beliau menerima notifikasi amaran daripada Apple berhubung cubaan serangan perisian pengintip atau “mercenary spyware”.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, Onn Hafiz berkata beliau memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak peribadi serta cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengintipan, pencerobohan digital dan penyalahgunaan teknologi untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tangkap layar yang dikongsikan beliau menunjukkan satu amaran daripada Apple yang memaklumkan syarikat itu mengesan cubaan “targeted mercenary spyware attack” terhadap iPhone yang dikaitkan dengan akaun peribadinya.

Menurut notifikasi tersebut, Apple mendakwa serangan berkenaan cuba menjejaskan iPhone pengguna secara jarak jauh dan kemungkinan menyasarkan individu tertentu berdasarkan identiti atau kedudukan mereka.

Amaran itu turut menyebut serangan “mercenary spyware” seperti Pegasus oleh NSO Group adalah sangat jarang berlaku namun jauh lebih canggih berbanding aktiviti jenayah siber biasa atau malware pengguna.

Susulan itu, Onn Hafiz berkata beliau akan membuat laporan polis serta mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut undang-undang bagi memastikan keselamatan serta hak privasi individu terus terpelihara.

“Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang pencerobohan dan penyalahgunaan teknologi yang boleh mengancam keselamatan serta hak peribadi individu,” katanya.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat