Muhyiddin gesa kerajaan kaji semula pengiktirafan UEC

KUALA LUMPUR – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) bagi kemasukan ke program ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dengan menyifatkan keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa dan berisiko memberi implikasi besar kepada sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, sebelum ini pengiktirafan UEC hanya terhad kepada beberapa bidang pengajian tertentu berkaitan Bahasa Cina dengan syarat calon memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, keputusan terbaharu kerajaan yang membenarkan sijil UEC digunakan bagi kemasukan ke semua program ijazah IPTA mewujudkan satu lagi saluran kemasukan yang tidak ditadbir oleh badan kerajaan.

“Dengan pengiktirafan sijil UEC, terdapat satu lagi saluran bagi kemasukan ke IPTA yang sukatan matapelajaran dan peperiksaannya ditadbir sepenuhnya oleh sebuah badan bukan kerajaan yang piawaiannya tidak dikawal oleh mana-mana badan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, setakat ini tiada badan kerajaan menjalankan penilaian jaminan kualiti, pengauditan sukatan pelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan serta pemarkahan UEC.

Beliau berkata keadaan itu boleh mewujudkan dwi-standard dalam penilaian kemasukan pelajar ke IPTA kerana melibatkan dua saluran kemasukan dengan standard berbeza.

Menurut Muhyiddin, ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional, satu kajian oleh Kementerian Pendidikan mendapati sukatan pelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Justeru, saya telah mencadangkan kepada Dong Zong supaya Kementerian Pendidikan Malaysia menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan matapelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan menimbangkan pengiktirafan sijil UEC.

“Namun, cadangan saya tersebut tidak dipersetujui oleh Dong Zong dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf sijil UEC,” katanya.

Muhyiddin turut mendakwa keputusan kerajaan MADANI mengiktiraf UEC mungkin mempunyai tujuan politik bagi memastikan sokongan berterusan DAP terhadap kerajaan campuran ketika ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa keputusan dasar penting tidak boleh dibuat berdasarkan pertimbangan politik semata-mata tanpa kajian menyeluruh mengenai kesannya terhadap masa depan sistem pendidikan negara.

Katanya, perkara itu termasuk implikasi terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

“Pendidikan bukan semata-mata medium untuk melahirkan modal insan untuk tujuan pembangunan negara tetapi juga alat pembinaan dan penyatuan negara bangsa,” katanya.

Muhyiddin turut menyifatkan pengiktirafan UEC sebagai “hadiah paling buruk kerajaan sempena sambutan Hari Guru tahun ini” dan mendakwa ia merupakan pengkhianatan terhadap pengorbanan guru-guru yang selama ini komited menjayakan dasar serta falsafah pendidikan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan kembali kepada asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam mempertimbangkan pengiktirafan sijil UEC.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat