KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU melantik Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya BERSATU bagi memperkukuhkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat MPT yang dipengerusikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berlangsung hampir empat jam malam tadi dengan memberi tumpuan kepada perkembangan politik semasa khususnya di Johor.
Menurut kenyataan media parti itu, MPT turut mengarahkan Badan Pimpinan Negeri Johor meningkatkan perbincangan serta kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) Johor dan pelbagai pihak lain yang bersedia membawa perubahan demi kesejahteraan negeri tersebut.
“MPT juga mengambil maklum perkembangan terkini di Negeri Sembilan dan Melaka yang dijangka akan menghadapi Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
BERSATU juga akan mengadakan sesi perbincangan strategik peringkat tertinggi melibatkan kepimpinan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Jun depan bagi memperhalusi strategi baharu menjana sokongan rakyat.
Dalam usaha memperkukuh jentera pilihan raya, Bilik Gerakan Utama atau “War Room” dengan kelengkapan teknologi moden serta sistem operasi pilihan raya digital menggunakan platform SIBER akan mula beroperasi pada 1 Jun 2026.
Selain itu, pengauditan dan penaziran kerja lapangan menggunakan aplikasi NADI yang diketuai Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan digerakkan secara meluas bermula hari ini di kawasan tumpuan BERSATU.
MPT turut mendukung usaha penerangan parti yang diketuai Datuk Tun Faisal Ismail Aziz untuk memperhebat program komunikasi strategik melalui media dan media sosial bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap jenama BERSATU yang digambarkan sebagai sederhana, progresif dan prihatin.
Dalam perkembangan sama, MPT melantik Muhammad Hilman Idham sebagai wakil BERSATU dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.



