KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh memberitahu kerajaan bahawa syarat utama untuk melanjutkan pengajian supaya wajib ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajar dikekalkan.
Beliau juga percaya ramai pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tahfiz yang menduduki peperiksaan SPM seperti biasa sebelum ini untuk melayakkan diri ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Tidak kira pelajar UEC ataupun tahfiz! Nak masuk IPTA wajib SPM.
“Dan saya percaya ramai sahaja pelajar lepasan UEC dan tahfiz yang ambil SPM seperti biasa sebelum ini.
“Tidak perlu kita buka lebih banyak “flood gate”, katanya.
Akmal menegaskan, Dasar Pendidikan Negara perlu diikuti bukan ditebuk sana sini.
Sebelum itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dilaporkan berkata, keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disifatkan sebagai satu keputusan politik yang perlu dikaji semula kerana dibimbangi boleh menjejaskan dasar nasional.
Katanya, pengiktirafan tersebut dilihat sebagai membuka ruang yang lebih besar kepada sistem pendidikan yang tidak selari dengan dasar nasional.
Kok Seong memberitahu, keputusan itu juga tidak dapat dipisahkan daripada faktor politik semasa serta tekanan pihak tertentu dalam kerajaan.
“Bagi saya, pengiktirafan UEC ini seperti membuka pintu yang besar. Ia keputusan yang salah dan lebih bersifat keputusan politik.
“Tidak dapat dinafikan DAP telah lama memperjuangkan perkara ini dan sekarang mereka berjaya mendapatkan apa yang diinginkan,” katanya.



