Tangguh pelaksanaan AKPS langkah perlu lindungi imigresen Sabah – Salleh Keruak

KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) adalah langkah yang terukur dan perlu.

Menurut Datuk Seri Salleh Said Keruak, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan keutamaan melindungi kuasa imigresen Sabah seperti yang dijamin di bawah MA63.

Jelas Salleh, kebimbangan terhadap rangka kerja AKPS adalah berasas, khususnya jika pelaksanaannya tidak jelas mengiktiraf kawalan langsung Sabah.

“Sebarang ketidakjelasan, berisiko melemahkan kuasa negeri yang telah lama wujud dalam hal imigresen,” kata Bendahari Umno Sabah itu.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menegaskan, kuasa imigresen Sabah bukan sekadar pentadbiran. Ia merupakan perlindungan perlembagaan dan syarat asas dalam pembentukan Malaysia dan prinsip ini mesti kekal tidak boleh dirunding.

“Penangguhan ini mewujudkan ruang penting untuk semakan dan penjelasan lanjut.

“Ia memastikan sebarang pelaksanaan pada masa hadapan selaras sepenuhnya dengan kedudukan perlembagaan serta hak istimewa Sabah.

“Keputusan ini mencerminkan pendirian tegas dan konsisten kerajaan negeri dalam mempertahankan kepentingan Sabah tanpa kompromi,” ujarnya.

Pada masa yang sama Salleh berkata, libat urus secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan perlu diteruskan bagi memastikan penyelarasan dasar tanpa menjejaskan autonomi negeri.

“Keseimbangan ini penting untuk mengekalkan keyakinan, melindungi susunan perlembagaan, serta memastikan hubungan Persekutuan–Negeri yang stabil dan berfungsi dengan baik,” katanya.

Terdahulu Hajiji memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga terdapat jaminan tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen negeri ini.

Ketua Menteri Sabah itu berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS di negeri berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri mendapati terdapat elemen penghakisan kuasa serta hak keistimewaan imigresen Sabah menerusi aspek perundangan dan pengoperasian imigresen di bawah pelaksanaan agensi terbabit.

“Pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, sedangkan pihak berkuasa negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas AKPS.

“Kuasa kerajaan negeri hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860],” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat