KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Sabah mahu jaminan bertulis berkaitan kuasa autonomi imigresen negeri itu dimasukkan secara jelas dalam peruntukan undang-undang sebelum sebarang pelaksanaan melibatkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diteruskan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan yang diambil kerajaan negeri Sabah menerusi Jemaah Menteri adalah bagi memastikan hak dan kuasa negeri yang termaktub sejak penubuhan Malaysia terus dipelihara.
“Saya melihat pendekatan yang ataupun keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jemaah Menteri adalah untuk memastikan bahawa jaminan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam konteks autonomi ataupun kuasa-kuasa imigresen itu dapat dizahirkan secara bertulis sebab kerajaan negeri menginginkan jaminan itu bukan hanya dalam bentuk verbal tetapi tersurat dengan jelas dalam peruntukan undang-undang yang ada.
“Jadi saya melihat penangguhan sementara itu untuk memastikan kedua-dua pihak dapat merungkai isu-isu yang berbangkit untuk memastikan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Hajiji ini dapat memastikan hak kuasa negeri yang telah termateri semenjak penubuhan Malaysia itu tidak dihakis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan semula Medan Selera Lepaking Six7 di Jalan Gombak semalam.
Menurut Armizan, kerajaan negeri Sabah tidak menolak usaha penubuhan AKPS yang bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kuasa imigresen negeri yang sedia ada.
“Kerajaan negeri menolak pendekatan penubuhan AKPS dengan tujuan untuk kita memperpukkan kawalan di sempadan itu tetapi memastikan ia dapat digerakkan tanpa membelakangkan kuasa-kuasa imigresen yang ada negeri,” jelasnya.
Sebelum ini isu berkaitan autonomi imigresen Sabah kembali menjadi perhatian selepas beberapa pihak membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan kuasa khas negeri itu terjejas susulan cadangan penstrukturan kawalan sempadan di bawah AKPS.
Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi tertentu termasuk dalam aspek imigresen yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus menjadikan sebarang perubahan melibatkan bidang kuasa itu perlu diteliti secara menyeluruh serta mendapat persetujuan kerajaan negeri.



