Oleh Zihan Zari
SETIU – Malaysia kini berada pada fasa baharu dalam tadbir urus lautan yang berteraskan sains, kerjasama rentas sektor serta komitmen terhadap kelestarian jangka panjang, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak.
Isham berkata sehingga kini, sebanyak 84 Kawasan Perlindungan Marin (MPA) telah diwartakan meliputi keluasan 29,844.08 kilometer persegi atau 5.54 peratus daripada keseluruhan perairan negara.
“Pencapaian ini sejajar dengan komitmen global sasaran 30×30 serta menyokong aspek keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi biru negara, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, laporan kewangan Kumpulan Wang Amanah Taman Laut dan Rizab Laut (KWATLRL) bagi tahun berakhir 31 Disember lalu yang menunjukkan jumlah kutipan fi pemuliharaan dan fi aktiviti sebanyak RM5.75 juta, iaitu penurunan sebanyak RM374,188.39 berbanding tahun sebelumnya.
“Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan terus mempergiat usaha menarik penglibatan sektor swasta melalui sumbangan, penajaan serta kerjasama strategik.
“Inisiatif ini turut disokong oleh insentif potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagai galakan kepada pihak industri untuk bersama-sama menyumbang kepada agenda pemuliharaan marin negara,”ujarnya.
Turut diadakan program kesedaran am termasuk aktiviti pembersihan pantai dan Kempen Bebas Plastik, selain pelepasan anak penyu sebagai simbol komitmen terhadap pemeliharaan biodiversiti marin.
Dalam pada itu, DOF akan terus memperkukuh pengurusan dan pembiayaan konservasi marin melalui KWATLRL sebagai mekanisme utama menyokong kelestarian ekosistem marin negara.
Terdahulu, Mesyuarat KWATLRL telah dipengerusikan oleh Isham yang berlangsung di Taman Laut Pulau Lang Tengah dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah DOF (Pengurusan), Yeo Moi Eim; Pengarah Kanan Bahagian Konservasi & Perlindungan Perikanan DOF, Dato’ Abdullah Jaafar; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan DOF, Mohamed Rizal Mustapha; dan pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai perikanan negeri. – SUARA.TV



