KUALA LUMPUR – Titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengenai aspirasi “Perlis Dubai Kedua” bukan kenyataan biasa yang boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Ketua Umno Bahagian Kangar Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, beliau agak ralat apabila sehingga hari ini masih belum kelihatan kesungguhan kerajaan negeri untuk menyambut, membahaskan dan menterjemahkan titah tersebut sebagai agenda besar pembangunan negeri.
“Sepatutnya respon segera diberikan dengan penubuhan jawatankuasa khas melibatkan kerajaan negeri, pemain industri, pakar ekonomi, logistik, pelaburan dan perancang pembangunan.
“Titah besar seperti ini tidak boleh hanya dipetik dalam berita, tetapi mesti diterjemahkan kepada pelan tindakan, kajian strategik dan hala tuju ekonomi negeri secara serius.
“Kita bukan mahu menukar Perlis menjadi Dubai secara fizikal. Yang perlu dicontohi ialah keberanian visi dan model pembangunannya,” tegas Fathul.
Menurut beliau, Dubai bukan negeri paling kaya minyak dalam UAE; kekuatan petroleum sebenar berada di Abu Dhabi. Namun Dubai berjaya muncul sebagai antara pusat ekonomi dunia kerana mereka membina kekuatan pada perdagangan, pelabuhan, logistik, penerbangan, kewangan, pelancongan dan perkhidmatan antarabangsa.
“Tun Mahathir Mohamad dahulu memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur kerana beliau memahami bahawa kemajuan Jepun bermula daripada perubahan cara fikir dan keberanian membina masa depan.
“Semangat itulah yang perlu ada di Perlis hari ini; berani berfikir besar walaupun negeri ini kecil.
“Perlis sebenarnya mempunyai asas strategik yang nyata; Perlis Inland Port, Chuping Valley Industrial Area, jaringan rel kargo, kedudukan sempadan ASEAN, potensi tenaga hijau, cadangan pembangunan Port Sanglang serta potensi oil & gas di perairan Perlis yang sedang dikaji oleh Petronas.
“Semua ini bukan lagi angan-angan kosong. Persoalannya sekarang, adakah kerajaan negeri benar-benar mempunyai keberanian politik dan kepantasan untuk menyambut titah besar Tuanku itu, atau sekadar membiarkannya tinggal sebagai slogan tanpa tindakan?
“Moga Allah rahmati Perlis di bawah naungan Tuanku. Junjung kasih Tuanku. Daulat Tuanku,” ucap beliau.



