Undang dan pembesar adat saman Kerajaan Negeri Sembilan, tuntut keputusan DKU 17 April digantung

SEREMBAN – Krisis adat Negeri Sembilan terus memuncak apabila dua Undang dan beberapa pembesar adat memfailkan Saman Pemula terhadap Kerajaan Negeri Sembilan bagi menuntut keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu digantung.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban dengan turut menamakan Setiausaha DKU, Raja Norazli bin Raja Nordin, serta Dewan Keadilan dan Undang sebagai defendan.

Dua Undang yang dinamakan sebagai plaintif ialah Undang Luak Sungai Ujong, YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak dan Undang Luak Rembau, YTM Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin.

Empat plaintif lain ialah YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad; YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah; YTM Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan YAM Dato’ Seri Utama Haji Badarudin bin Haji Abdul Khalid.

Berdasarkan dokumen mahkamah, plaintif memohon deklarasi bahawa mereka berhak mendapatkan salinan minit Mesyuarat Khas DKU yang diadakan pada 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti.

Mereka turut memohon perintah supaya Setiausaha DKU dan DKU mengemukakan serta menyerahkan minit mesyuarat tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Selain itu, plaintif menuntut supaya mahkamah menggantung pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh defendan-defendan yang berkaitan dengan keputusan Mesyuarat Khas DKU 17 April 2026 sehingga minit mesyuarat berkenaan dikemukakan dan diserahkan kepada mereka.

Permohonan itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban pada 13 Mei 2026, jam 9 pagi secara fizikal.

Saman Pemula tersebut bertarikh 5 Mei 2026 dan difailkan oleh Tetuan Deidra Sharina & Co. selaku peguam cara plaintif.

Perkembangan ini menjadikan krisis adat Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila pertikaian berhubung Mesyuarat Khas DKU 17 April kini dibawa ke mahkamah.

Tumpuan kini terarah kepada sama ada mahkamah akan membenarkan permohonan plaintif untuk mendapatkan minit mesyuarat tersebut serta menggantung pelaksanaan keputusan DKU sementara dokumen itu belum diserahkan. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat