Setiap kali tibanya musim haji, hati umat Islam seakan terpanggil menuju satu destinasi yang sama. Ada yang hadir sebagai tetamu Allah di Tanah Suci, ada yang menunggu giliran dengan penuh sabar, dan ada juga yang hanya mampu memandang dari jauh sambil menyimpan doa agar suatu hari nanti nama mereka turut dipanggil menyahut seruan suci itu. Dalam kerinduan yang sama, TV AlHijrah sekali lagi tampil membawa denyut musim haji lebih dekat ke rumah dan jiwa rakyat Malaysia.
Sempena musim Haji dan Aidiladha 1447H, TV AlHijrah memperkenalkan rangkaian program istimewa yang disusun khusus bagi menghidupkan suasana ibadah terbesar umat Islam itu. Tahun ini, stesen penyiaran berkenaan memilih tema Arafah: Puncak Munajat & Harapan, satu tema yang bukan sekadar indah pada ungkapan, tetapi sarat dengan makna mendalam tentang taubat, pengharapan dan penyerahan diri kepada Yang Maha Esa.
Pengumuman rasmi rangkaian program berkenaan telah berlangsung dalam suasana penuh meriah di Saloma Kuala Lumpur, yang menjadi lokasi pelancaran kempen musim haji TV AlHijrah tahun ini. Majlis berkenaan turut disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan yang hadir merasmikan acara tersebut.

Lebih menyentuh hati, pada majlis sama turut berlangsung satu detik istimewa apabila Menteri Agama menyampaikan hadiah tajaan mengerjakan umrah untuk dua orang kepada Mohd Yusof Mohd Noor atau lebih dikenali ramai sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan.
Penghargaan itu dilihat sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha murni dan kisah inspirasi beliau yang dekat dengan masyarakat. Saat nama beliau diumumkan, suasana dewan diselubungi tepukan gemuruh dan rasa syukur. Ada hadiah yang nilainya bukan pada angka, tetapi pada doa yang mengiringinya. Dan umrah adalah hadiah yang menyentuh jiwa sesiapa sahaja.
Menurut Tuan Haji Namanzee Harris, musim haji sentiasa menjadi antara fokus paling utama TV AlHijrah kerana ia membawa kekuatan spiritual yang sangat besar kepada masyarakat. Beliau berkata, ketika jutaan manusia berkumpul di bumi suci dengan pakaian ihram yang serba putih, dunia seolah-olah diingatkan bahawa di hadapan Allah, manusia kembali sama – tanpa pangkat, tanpa darjat, hanya membawa amal dan doa.
Katanya, atas sebab itu TV AlHijrah mahu memastikan rakyat Malaysia turut dapat merasai getaran musim haji walaupun berada ribuan kilometer jauh dari Makkah dan Padang Arafah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan media dan penonton yang terus memberi sokongan saban tahun setiap kali TV AlHijrah menampilkan kandungan khas musim haji. Menurutnya, kepercayaan itulah yang menjadi semangat kepada seluruh pasukan penerbitan untuk terus memperbaiki mutu siaran dan menampilkan pembaharuan yang sesuai dengan selera penonton masa kini.

Jika dahulu masyarakat lebih selesa menonton program yang panjang dan bersifat formal, landskap hari ini sudah banyak berubah. Penonton moden mahukan kandungan yang lebih ringkas, terus kepada isi dan mudah diikuti. Namun dalam dunia yang serba pantas ini, TV AlHijrah percaya mesej agama tetap boleh disampaikan dengan berkesan tanpa menghilangkan roh dan adabnya.
Justeru, musim haji kali ini tampil dengan pendekatan lebih segar. Kandungan bukan sahaja bersifat ilmiah, tetapi dibentuk dengan gaya lebih dekat kepada penonton. Ada laporan lapangan, kapsul pendek, interaksi digital dan rakaman semasa dari Tanah Suci yang memberi pengalaman lebih hidup dan nyata.
Antara program yang menjadi pembuka tirai ialah Interaktif Haji yang sudah mula bersiaran sejak 20 April lalu setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam. Program ini memberi ruang kepada masyarakat memahami ibadah haji secara jelas dan praktikal bersama para asatizah, selain membuka peluang kepada penonton bertanya soalan secara langsung melalui media sosial.
Mulai 30 April pula, TV AlHijrah membawakan Kisah Mutawif, sebuah rancangan yang menampilkan sisi insan-insan yang sering bekerja di belakang tabir musim haji. Mereka bukan sekadar pembimbing perjalanan, tetapi peneman ketika penat, penenang ketika cemas, dan pembantu ketika jemaah mencari arah di bumi asing.
Bermula 11 Mei, siaran akan diperkukuh dengan Diari Labbaikallah, kapsul harian dari Makkah yang membawa perkembangan semasa jemaah Malaysia, suasana ibadah, cabaran harian serta detik-detik penting sepanjang musim haji.
Kemuncak siaran musim haji pastinya pada 26 Mei menerusi Munajat Arafah jam 5 petang. Program ini akan menampilkan tausiyah, zikir, munajat dan alunan ayat suci al-Quran dalam suasana penuh keinsafan.
Pada hari yang sama, TV AlHijrah turut menyiarkan secara langsung Khutbah Arafah 2026 kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui platform digital rasmi stesen itu sekitar jam 7 malam waktu Malaysia.

Menjelang Aidiladha, perjalanan rohani itu diteruskan dengan Peristiwa Hari Tasyrik pada 28, 29 dan 30 Mei jam 9 malam. Program khas ini akan mengupas hikmah hari Tasyrik yang sering dipandang biasa, sedangkan ia sebenarnya hari-hari untuk memperbanyakkan zikir, mensyukuri nikmat dan mengingati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS serta Nabi Ismail AS.
Sepanjang musim haji juga, rancangan pagi Assalamualaikum akan terus menampilkan segmen khas haji setiap hari jam 7 pagi, manakala Berita AlHijrah membawakan laporan harian Haji 1447H pada jam 8 malam berdasarkan sumber sahih termasuk daripada Lembaga Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi.
Secara keseluruhannya, TV AlHijrah tahun ini tidak sekadar menyusun jadual siaran bermusim. Ia sedang membina jambatan rohani antara Malaysia dan Tanah Suci. Ia membawa rindu mereka yang pernah ke sana, menyuburkan harapan mereka yang belum dipanggil, dan menghidupkan rasa syukur mereka yang sedang menunggu giliran.
Ketika jutaan manusia melafazkan Labbaikallahumma Labbaik, TV AlHijrah berusaha memastikan gema seruan itu turut sampai ke setiap ruang tamu di negara ini. Kerana haji bukan hanya perjalanan menuju Kaabah, tetapi perjalanan jiwa kembali kepada Tuhan.



