SEREMBAN, – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menzahirkan rasa kesal terhadap keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menangguhkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sambil menyifatkannya sebagai tindakan yang mengabaikan suara rakyat.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, keputusan itu dilihat seolah-olah tidak memikirkan nasib rakyat yang sedang berdepan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
Menurut beliau, DUN adalah tempat bagi wakil rakyat yang telah dipilih untuk membawa suara rakyat, justeru penangguhan sidang berkenaan disifatkan sebagai tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab serta satu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan rakyat.
Katanya, penangguhan itu juga akan memberi kesan kepada fungsi semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri, lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis pentadbiran yang didakwa sedang berlaku ketika ini.
“Sekiranya Menteri Besar memikirkan nasib rakyat seperti yang sering diucapkan, kami yakin keputusan yang dibuat adalah sebaliknya dan Sidang DUN akan tetap diteruskan bagi menyelesaikan segala isu yang berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyindir kepimpinan kerajaan negeri dengan peribahasa, “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”.
Dalam kenyataan sama, Mohamad Fadil mengungkapkan pepatah, “Kato sapatah dipalegakan, mancari bulek sagulu, picak nan salayang,” selain mengakhiri kenyataannya dengan slogan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.
Terdahulu, Menteri Besar dilaporkan terpaksa menangguhkan sidang berkenaan ke satu tarikh yang belum diketahui selepas istiadat perasmian DUN diboikot oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin sebagai tanda bantahan terhadap kegagalan kerajaan negeri menangani krisis istana dan kemelut institusi adat yang sedang melanda Negeri Sembilan. – SuaraTV



