“Selat Melaka ini keadaannya amat aman, tidak ada halangan terhadap kapal yang lalu-lalang” – Khaled

KUALA LUMPUR, – Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Selat Melaka kekal dalam keadaan aman dan tidak memerlukan sebarang campur tangan kuasa luar untuk mengawal laluan strategik tersebut.

Beliau berkata, sebarang cadangan atau tindakan untuk mengawal Selat Melaka perlu mendapat persetujuan bersama negara-negara serantau, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Katanya, pendirian itu selari dengan kenyataan Menteri Luar, Mohamad Hasan, yang sebelum ini menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan laluan tersebut mesti dibuat secara konsensus dan tidak boleh diputuskan secara unilateral.

“Selat Melaka ini keadaannya amat aman, tidak ada halangan terhadap kapal yang lalu-lalang. Tidak ada sebab untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil atau besar, menyatakan hasrat untuk mengawal kerana negara-negara di rantau ini mampu menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup pameran Defence Services Asia (DSA) 2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia bersama negara jiran mempunyai keupayaan mencukupi untuk memastikan keselamatan dan kelancaran laluan perdagangan penting dunia itu tanpa penglibatan pihak luar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan penganjuran DSA 2026 sebagai sangat berjaya, selain menjadi platform penting untuk memperkukuh kedudukan industri pertahanan tempatan di peringkat global.

Katanya, pameran tersebut membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menjalin kerjasama strategik dengan pengeluar peralatan asal (Original Equipment Manufacturer atau OEM), sekali gus membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan antarabangsa.

“Kita mahu syarikat tempatan dikenali oleh OEM supaya mereka tidak melihat keperluan pematuhan syarat kerajaan sebagai sesuatu yang sukar, termasuk keperluan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan dalam perolehan pertahanan,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga penting bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan aset pertahanan dapat dilaksanakan oleh syarikat tempatan tanpa perlu diserahkan semula kepada pihak luar.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa diplomasi pertahanan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serantau, selain keupayaan ketenteraan dan pemilikan aset canggih.

“Dalam kita berhadapan cabaran keselamatan, ia bukan hanya soal membeli aset atau memperbesarkan pasukan, tetapi juga bagaimana kita mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara negara,” katanya.

Mengulas isu antarabangsa, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan rundingan melibatkan Iran, namun berharap konflik yang berlaku dapat diselesaikan melalui pendekatan diplomasi.

“Saya berharap konflik dapat ditamatkan segera kerana ia tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Usaha rundingan perlu diteruskan,” katanya. -SuaraTV

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat