KUALA LUMPUR, – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) terus memperkukuh usaha memastikan kesejahteraan sosioekonomi anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kerjasama strategik bersama Gabungan Industri Pertahanan Malaysia (CDIM).
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi sesi pertukaran Nota Persefahaman (NoU) antara Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato’ Ts. Amir Md. Noor dan Presiden CDIM, Dato’ Nonee Ashirin Mohd Radzi, yang disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali sempena penganjuran DSA 2026.
Inisiatif yang dilaksanakan di bawah program Kerjaya Kedua Perwira itu bertujuan memperkukuh peralihan kerjaya anggota dan veteran ATM ke sektor awam, khususnya dalam bidang bernilai tinggi yang memerlukan kemahiran teknikal dan kepakaran khusus.
Melalui kolaborasi bersama CDIM yang menghimpunkan 57 syarikat industri pertahanan tempatan, program ini memberi fokus kepada penyediaan latihan industri serta peluang pekerjaan dalam bidang senggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset pertahanan, kejuruteraan dan pembuatan, aeroangkasa, teknologi penerbangan, sistem keselamatan serta logistik.
Menurut Amir, anggota dan veteran ATM memiliki kepakaran serta disiplin tinggi yang amat diperlukan industri, sekali gus menjadikan mereka aset penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran mereka, malah membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan sektor swasta, seterusnya membuka ruang kepada sumbangan lebih besar kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata pendekatan bersepadu itu selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) serta Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berkualiti tinggi dalam jangka panjang.
Bagi suku pertama tahun 2026, laporan keberhasilan pelan tersebut merekodkan sebanyak 718 peluang pekerjaan disediakan, dengan 449 veteran berjaya ditempatkan dalam sektor seperti aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan, dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM5,000.
Kejayaan ini dicapai hasil kerjasama lebih 70 agensi awam dan swasta, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu dalam membantu veteran ATM membina kerjaya kedua yang lebih stabil dan berdaya saing.
Pelan jangka panjang selama 10 tahun yang dirangka PERHEBAT turut menyasarkan pembangunan bakal pesara dan veteran sebagai penggerak ekonomi serta tenaga kerja mahir, sejajar dengan aspirasi ekonomi MADANI. – SuaraTV



