SEREMBAN, 20 April – Sehari selepas sidang media oleh empat Undang Luak, satu dokumen yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, mula tular di media sosial sejak awal pagi tadi.
Dokumen bertarikh 19 April 2026 itu memetik Perkara 10 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain mengandungi satu “pengisytiharan pelantikan” Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Antara kandungan utama dokumen tersebut menyatakan:
“BAHAWASANYA selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada Kami dengan ini mengisytiharkan secara kebulatan bahawa Kami berkenan memilih dan melantik Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Al-marhum Tuanku Jaafar sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 berkuatkuasa serta-merta.”


Surat tersebut ditandatangani oleh empat Undang Yang Empat iaitu Undang Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thaha; Undang Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad; Undang Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiwan Dato’ Mohammed bin Haji Abdullah; serta Undang Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin.
Menurut dokumen itu, keempat-empat Undang berkenaan telah mengadakan sidang pada 19 April 2026 bagi membincangkan perkara berkaitan pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan melantik Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-12.
Bagaimanapun, penelitian terhadap kandungan dokumen tersebut mendapati walaupun wujud naratif berkaitan “pemecatan”, peruntukan yang dirujuk lebih menjurus kepada kuasa memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar, dan bukan secara jelas memperincikan prosedur atau bidang kuasa untuk menamatkan pemerintahan penyandang sedia ada.
Perkara itu menimbulkan persoalan dari sudut perlembagaan dan adat sama ada Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk memecat Yang di-Pertuan Besar, atau sekadar berperanan dalam proses pelantikan apabila berlaku kekosongan takhta.
Sumber turut memaklumkan hubungan antara institusi Undang dan Tuanku Muhriz dilaporkan telah tegang sejak beberapa tahun lalu, termasuk melibatkan isu darjah kebesaran dan penghormatan terhadap institusi Undang.
Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Istana Seri Menanti mahupun kerajaan negeri berhubung kesahihan dokumen tersebut atau status pelantikan baharu, memandangkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak dilaporkan kosong ketika ini.
Situasi berkenaan dilihat berpotensi mencetuskan krisis perlembagaan dan adat yang jarang berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan. –SuaraTV



