Kuasa muafakat berkemungkinan besar boleh turunkan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan – Pengkaji

SEREMBAN, – Kontroversi melibatkan institusi adat Negeri Sembilan kini memasuki fasa lebih serius apabila pengkaji sosio-budaya adat istiadat, Muhamad Hanapi Jamaludin, berpandangan bahawa konsep muafakat dalam sistem adat berupaya menjadi asas kepada pengangkatan dan penurunan seorang pemerintah, termasuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pandangan itu dikemukakan dalam Facebooknya, susulan tindakan luar biasa Empat Undang Luak Negeri Sembilan yang mengisytiharkan “pemecatan” Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam satu sidang media petang tadi.

Undang Yang Empat turut mengumumkan pelantikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tunku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, satu langkah luar biasa yang jarang berlaku dalam sejarah moden negeri itu.

Mengulas perkara itu, Hanapi berkata sistem adat Negeri Sembilan tidak berteraskan kuasa mutlak, sebaliknya digerakkan oleh konsep “muafakat” atau “kebulatan” yang menjadi asas legitimasi dalam setiap lapisan kepimpinan.

“Perundingan berlaku di belakang, keputusan dimasyhurkan di hadapan. Ini terkandung dalam perbilangan adat ‘muafakat lalu dalam golap, adat lalu di tongah torang’,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa struktur kepimpinan adat bermula daripada anak buah di peringkat akar umbi yang mengangkat Buapak, diikuti Lembaga, seterusnya Undang yang berperanan menabalkan Yang di-Pertuan Besar sebagai simbol penyatuan negeri.

“Perbilangan adat menyebut, ‘Anak buah berajo kepado Buapak, Buapak berajo ko Lembago, Lembago berajo ko Undang, Undang berajo ko Yamtuan’. Ini menunjukkan kuasa itu datang dari bawah dan bergerak ke atas secara berlapis,” katanya.

Dalam kerangka tersebut, katanya, kuasa tidak bersifat statik atau mutlak kerana setiap lapisan kepimpinan boleh dicabar dan diturunkan melalui muafakat di peringkat masing-masing.

“Secara prinsip adat, jika seorang pemimpin diangkat melalui muafakat, maka melalui muafakat juga kedudukannya boleh dipersoalkan dan diturunkan,” katanya.

Menurutnya, Undang dilihat sebagai “majlis” tertinggi sebelum Yang di-Pertuan Besar, namun mereka juga tidak memiliki kuasa mutlak kerana kedudukan mereka sendiri tertakluk kepada penerimaan Lembaga dan anak buah di bawah.

“Tiada siapa yang kebal dalam sistem ini. Undang boleh diturunkan oleh Lembaga, Lembaga oleh Buapak, dan Buapak pula oleh anak buah. Ini menunjukkan keseimbangan kuasa dalam adat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sistem tersebut sebagai satu bentuk “demokrasi tradisional” atau proto-demokrasi yang telah lama berakar dalam masyarakat Negeri Sembilan, berasaskan Adat Perpatih yang diwarisi daripada Minangkabau.

Katanya, perwakilan kuasa dalam adat mempunyai persamaan dengan sistem demokrasi moden, di mana masyarakat di peringkat bawah mewakilkan kuasa kepada lapisan kepimpinan untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa sistem tersebut banyak bergantung kepada tradisi lisan dan tafsiran yang tidak seragam antara luak, menjadikan pelaksanaannya berbeza mengikut amalan setempat.

“Seadat tidak seresam. Setiap luak ada resam tersendiri, sebab itu tafsiran terhadap sesuatu keputusan adat boleh berbeza,” katanya.

Mengulas mengenai sejarah, beliau berkata Negeri Sembilan terbentuk sebagai sebuah persekutuan daripada sembilan luak yang sebelum itu mempunyai pemerintahan sendiri, sebelum bersetuju mengangkat seorang pemerintah sebagai simbol kesatuan.

Menurutnya, keunikan tersebut menjadikan Negeri Sembilan antara contoh awal pembentukan sistem berasaskan persekutuan dalam konteks tradisional.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa keseimbangan dalam sistem adat perlu dipelihara bagi mengelakkan konflik berpanjangan antara lapisan kepimpinan, terutama dalam suasana semasa yang menyaksikan perbezaan tafsiran terhadap proses adat.

“Jika pertarungan kuasa berlaku tanpa asas yang kukuh, ia boleh membawa kepada ketidaktentuan dan menggugat kemakmuran masyarakat adat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak luar yang bukan daripada waris adat tidak mempunyai kedudukan untuk mencampuri urusan tersebut, selaras dengan prinsip adat “lubuk orang jangan digobok”.

Kontroversi ini dijangka terus menjadi perhatian apabila pelbagai pihak menilai semula peranan serta had kuasa dalam sistem adat Negeri Sembilan, termasuk persoalan sama ada tindakan Empat Undang mempunyai asas yang sah dalam kerangka adat dan perlembagaan negeri. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat