AADK kongsi kepakaran dengan BKN Brunei tangani ancaman penyalahgunaan dadah serantau

Oleh Zihan Zari

GEORGE TOWN – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) komited memperluas kerjasama serantau bersama Biro Kawalan Narkotik (BKN) Brunei Darussalam dalam pelbagai aspek, merangkumi pertukaran maklumat, pengetahuan, dan kepakaran, terutamanya mengurangkan permintaan dadah dan bahan, kata Ketua Pengarahnya Dato’ Ruslin Jusoh.

Beliau berkata AADK menzahirkan keyakinan bahawa melalui semangat kerjasama erat ini, kedua-dua pihak mampu mencapai matlamat yang lebih berkesan dan signifikan dalam menangani cabaran penyalahgunaan dadah dan bahan di peringkat serantau.

Terdahulu, AADK mengadakan Mesyuarat Dua Hala Tahunan bersama BKN Brunei Darussalam dekat sini baru-baru ini, bagi membincangkan tiga aspek utama meliputi pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan bahan serantau.

Delegasi BKN Brunei Darussalam diketuai oleh Pengarahnya, Yang Mulia Dato Paduka Hj. Mohd Zalani Ismail, bersama tujuh pegawai kanannya.

Ruslin yang mengetuai mesyuarat ini berkata pihaknya akan memperkukuh jaringan kerjasama antara kedua-dua agensi, khususnya bagi perkongsian amalan terbaik, pengalaman, serta pendekatan inovatif dalam menangani ancaman penyalahgunaan dadah dan bahan yang semakin kompleks dan dinamik.

“Susulan daripada mesyuarat tersebut, AADK turut menyatakan kesediaan untuk terus berkongsi kepakaran dengan pegawai-pegawai BKN Brunei, khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti sumber manusia, ”katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, AADK berbesar hati menawarkan peluang latihan dalam pelaksanaan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD), yang memberi penekanan kepada pencegahan awal, intervensi, serta sokongan berterusan di persekitaran tempat kerja.

Dalam rangka lawatan tersebut, delegasi BKN Brunei turut dibawa meninjau pengoperasian program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) yang dilaksanakan oleh AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Selamat, Pulau Pinang.

Lawatan kerja ini secara tidak langsung memberi pendedahan meluas mengenai variasi program rawatan dan pemulihan di Malaysia, sekali gus menterjemahkan komitmen padu kedua-dua negara dalam membanteras isu penyalahgunaan dadah dan bahan demi kesejahteraan serantau.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat