UPNM tegaskan IPT bukan ‘lubuk rasuah’, integriti teras pembentukan graduan

KUALA LUMPUR, — Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) tidak wajar digeneralisasikan sebagai “lubuk rasuah”, sebaliknya merupakan benteng utama dalam membentuk generasi berintegriti.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, UPNM memaklumkan pihaknya mengambil maklum perbincangan awam berkaitan persepsi terhadap IPT, namun menegaskan bahawa dakwaan tersebut perlu ditangani berasaskan fakta, bukan prejudis. 

Menurut universiti itu, sebagai institusi yang melatih pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mahasiswa dalam bidang pertahanan dan keselamatan, integriti bukan sekadar dasar, tetapi merupakan doktrin yang perlu sebati dalam setiap aspek operasi, pengajaran dan kepimpinan.

“Pedagogi integriti adalah kritikal dan tidak boleh dikompromikan. Ia bukan pelengkap kurikulum, tetapi teras pembentukan karakter setiap graduan,” menurut kenyataan tersebut.

UPNM turut menekankan bahawa pelaksanaan Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) sebagai subjek wajib di IPT dan institusi TVET merupakan instrumen penting dalam melahirkan generasi yang memahami dan menolak rasuah, selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional. 

Menurutnya, impak pendidikan integriti tidak dapat diukur dalam jangka pendek, sebaliknya dinilai melalui keputusan dan tindakan graduan sepanjang kerjaya mereka.

Dalam masa sama, UPNM menegaskan tidak akan berkompromi dalam aspek tadbir urus serta komited menambah baik sistem bagi menutup ruang penyelewengan, selain menganggap usaha membanteras rasuah sebagai tanggungjawab bersama melibatkan institusi, individu dan masyarakat.

Integriti perlu dibina dari pendidikan, bukan hanya penguatkuasaan

Sementara itu, artikel sokongan oleh Akademi Pengajian Pertahanan Islam UPNM menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada pembinaan nilai dan karakter individu sejak peringkat pendidikan. 

Artikel itu menjelaskan bahawa IPT memainkan peranan kritikal sebagai fasa pembentukan identiti dan nilai mahasiswa, yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan awam dan keselamatan.

“Integriti merujuk kepada nilai kejujuran, amanah dan akauntabiliti yang perlu diamalkan secara konsisten, bukan sekadar difahami secara teori,” menurut artikel tersebut.

Namun, cabaran seperti normalisasi budaya ‘jalan pintas’, tekanan akademik serta pengaruh rakan sebaya dikenal pasti sebagai antara faktor yang boleh menjejaskan penghayatan integriti dalam kalangan mahasiswa.

Sehubungan itu, artikel berkenaan mencadangkan pendekatan holistik termasuk pengukuhan kurikulum, latihan berasaskan dilema etika, tadbir urus institusi yang telus serta pembudayaan integriti di kampus.

Benteng awal cegah rasuah

Kesimpulannya, UPNM menegaskan bahawa IPT bukan punca kepada masalah rasuah, sebaliknya merupakan barisan hadapan dalam usaha pencegahan melalui pendidikan dan pembentukan karakter.

Universiti itu kekal berpegang kepada tiga tunjang utama kewajipan, maruah dan integriti sebagai asas dalam melahirkan graduan yang beretika dan bebas rasuah demi masa depan negara.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat