Rasuah kini tular sektor awam, swasta demi kejar hidup mewah, bergaya melebihi kemampuan sebenar – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Rasuah bukan lagi ‘penyakit’ sektor awam semata-mata apabila semakin ramai pekerja sektor swasta dikesan terbabit menerima suapan demi kepentingan peribadi.

Keadaan itu membuktikan barah rasuah menular merentas sektor dan memerlukan tindakan tegas serta kerjasama semua pihak bagi membendungnya sebelum menjadi budaya kerja.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, seramai 2,202 pegawai dan kakitangan swasta ditahan dalam tempoh 2021 hingga 2025, diikuti penjawat awam seramai 2,164 dan orang awam seramai 845 orang.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga tangkapan membabitkan individu di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah seramai 118 orang dan ahli politik pula seramai 30 orang.

“Antara faktor mereka menerima rasuah adalah kerana individu yang mempunyai kuasa membuat keputusan khususnya dalam perolehan, kelulusan atau penguatkuasaan terdedah kepada godaan rasuah apabila kawalan dan semakan tidak mencukupi.

“Prosedur yang longgar, pengawasan yang lemah serta ketiadaan mekanisme semak dan imbang juga membuka ruang kepada perbuatan rasuah berlaku secara berulang,” katanya menurut Harian Metro.

Azam berkata, ramai pelaku hidup melebihi kemampuan sebenar dan kerana didorong keinginan mengekalkan gaya hidup mewah, mereka sanggup melakukan jenayah rasuah.

“Selain itu, dalam sesetengah persekitaran, rasuah dianggap sebagai amalan biasa di mana ‘duit kopi’ biasanya menjadi jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu urusan sekali gus menghakis sensitiviti terhadap salah laku.

“Faktor lain adalah disebabkan tekanan kewangan, beban hutang atau masalah peribadi antara faktor seseorang terbabit rasuah terutama apabila mereka melihat peluang yang mudah untuk melakukan rasuah,” katanya.

Menurut Azam, berdasarkan statistik SPRM sepanjang tempoh lima tahun lalu, jumlah kes paling banyak dicatatkan membabitkan kesalahan menerima rasuah iaitu sebanyak 1,740, diikuti tuntutan palsu (1,448 kes) dan salah guna kuasa (563 kes).

“Kesalahan lain adalah memberi rasuah sebanyak 378 kes, pengubahan wang haram (332 kes), lain-lain seksyen (308 kees), Kanun Keseksaan (23 kes) dan lain-lain akta sebanyak 11 kes,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat