MAIPs gantung sumbangan kepada NGO, nafi lantik ejen zakat rasmi

KANGAR, – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menggantung sementara semua bentuk sumbangan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan isu tular berkaitan penyaluran dana, sambil menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana NGO sebagai ejen rasmi kutipan atau agihan zakat.

Dalam kenyataan media hari ini, MAIPs memaklumkan langkah penggantungan itu dibuat sebagai tindakan proaktif bagi membolehkan siasatan dan semakan tatakelola dijalankan terhadap entiti yang dikaitkan dengan isu berkenaan.

Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut diambil susulan dakwaan yang dibangkitkan berhubung isu melibatkan entiti IHS, yang menurut MAIPs berada di luar konteks pelantikan asnaf Fi Sabilillah.

“Sebagai langkah proaktif, MAIPs telah membuat keputusan untuk menangguhkan sementara segala bentuk sumbangan kepada NGO berkenaan sehingga siasatan dirumuskan bagi tujuan semakan terhadap modus operandi dan tatakelola,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, MAIPs menolak dakwaan bahawa mana-mana NGO pernah dilantik sebagai ejen rasmi zakat.

“Secara perundangan, MAIPs tidak mempunyai bidang kuasa untuk melantik entiti luar sebagai ejen rasmi. Jika ada individu yang berbuat demikian, maka ianya adalah di luar mandat daripada pihak MAIPs,” jelas kenyataan tersebut.

MAIPs turut menjelaskan bahawa laporan Ketua Audit Negara tahun 2018 yang sering dirujuk berhubung isu berkenaan adalah berdasarkan penemuan sebelum dasar Zakat Kaedah Taawun diperjelaskan.

“Pada tahun berikutnya tiada lagi perkara bangkit terhadap isu berkenaan,” katanya.

Berhubung isu penyaluran dana, MAIPs menjelaskan sumbangan yang diberikan kepada NGO dibuat selepas penerima dikenal pasti berada di bawah kategori asnaf Fi Sabilillah serta selaras dengan cadangan yang dikemukakan oleh muzakki atau pembayar zakat.

Menurut kenyataan itu, para muzakki memberi mandat cadangan kepada MAIPs untuk menyalurkan sumbangan kepada NGO tertentu berdasarkan maslahat umum dan keputusan fatwa yang telah dikeluarkan.

Bagaimanapun, MAIPs menegaskan setiap NGO yang menerima sumbangan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan dana berkenaan, termasuk segala aktiviti, perbelanjaan, aliran tunai dan kos pengurusan.

“Segala aktiviti, perbelanjaan, aliran tunai dan kos pengurusan dalam NGO berkaitan adalah di bawah kawalan dan tanggungjawab NGO itu sepenuhnya,” katanya.

MAIPs berkata semakan awal telah dimulakan sejurus isu itu timbul dan pemeriksaan lanjut sedang dijalankan secara mendalam bagi memastikan amanah dana zakat serta hasrat Fi Sabilillah dipenuhi tanpa kompromi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat