PULAU PINANG – Cubaan menyeludup minyak diesel secara haram berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang dalam satu operasi di perairan Bagan Ajam, malam tadi.
Dalam operasi tersebut, dua kapal tangki bersama 22 kru berjaya ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan itu diambil hasil risikan yang diterima seawal jam 10.45 pagi berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal yang bersauh di lokasi berkenaan.
Susulan maklumat itu, satu Ops Bersepadu digerakkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), sebelum bot peronda Maritim Malaysia dihantar ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan dipercayai sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak secara haram,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti tersebut melibatkan pemindahan kira-kira 700,000 liter diesel Euro 5, manakala jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah 800,000 liter.
Operasi itu turut membawa kepada penahanan 22 kru yang terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.33 bilion, menjadikannya antara kes berprofil tinggi di perairan negara tahun ini. Nilai tersebut merangkumi dua kapal tangki yang disita serta muatan diesel yang dipercayai cuba diseludup.
Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, selain turut disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, setiap vesel boleh dikenakan denda sehingga RM200,000.
Kesemua kru dan kapal yang ditahan telah dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut, manakala Maritim Malaysia menegaskan akan terus memperketat rondaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negara.



