KUALA LUMPUR – Isu eksport bahan api khususnya diesel kembali menjadi perdebatan selepas veteran wartawan, A. Kadir Jasin, mempersoalkan dakwaan penghantaran besar-besaran diesel dari Malaysia ke Filipina.
Dalam satu kenyataan yang tular, beliau merujuk kepada laporan media Filipina yang mendakwa sebanyak 329,000 tong atau lebih 52 juta liter diesel telah tiba di negara tersebut, dengan frasa “dumating na” (sudah tiba dalam bahasa Tagalog) digunakan bagi mengesahkan ketibaan bekalan itu.
Baca juga : Filipina Terima 329,000 Tong Diesel Dari Malaysia, Perkukuh Bekalan Tenaga Negara
Menurut kenyataan tersebut, penghantaran itu dikatakan bertujuan memperkukuhkan bekalan bahan bakar di Filipina, yang berdepan keperluan tenaga yang meningkat.
Bagaimanapun, syarikat minyak nasional PETRONAS dilaporkan menafikan sebarang penglibatan dalam urusan eksport berkenaan.
Pada masa sama, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga didakwa mengesahkan bahawa penghantaran tersebut bukan berasal dari Malaysia.
A. Kadir dalam kenyataannya turut mempersoalkan percanggahan maklumat tersebut, sama ada benar Malaysia mengeksport diesel dalam jumlah besar atau sebaliknya terdapat kekeliruan sumber.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai keadaan bekalan bahan api domestik, sambil mendakwa terdapat gangguan bekalan di beberapa stesen minyak tempatan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengaitkan isu eksport dengan kenaikan harga bahan api domestik, mendakwa harga diesel tanpa subsidi meningkat mendadak sejak beberapa bulan lalu.
Beliau juga merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sebelum ini memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga bulan Mei.
A. Kadir turut menimbulkan persoalan sama ada eksport bahan api ke negara jiran akan memberi kesan kepada bekalan domestik, selain mencadangkan agar kerajaan lebih telus dalam menjelaskan polisi eksport tenaga negara.
Beliau juga menyentuh faktor geopolitik dan perdagangan minyak global, termasuk pergerakan harga minyak mentah dunia yang didakwa mula menurun dalam pasaran antarabangsa.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan perlu diberikan kepada kestabilan harga dan kebajikan rakyat, berbanding keuntungan daripada eksport bahan api ke luar negara.



