TEL AVIV / BEIRUT — Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan berdepan tekanan hebat daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengurangkan serangan ke atas Beirut dan memulakan rundingan dengan kerajaan Lubnan.
Menurut laporan media Israel, Haaretz, Trump didakwa menggesa Israel supaya “menurunkan intensiti” operasi ketenteraan serta membuka saluran komunikasi diplomatik bagi meredakan konflik.
Dalam perkembangan sama, kerajaan Lubnan turut dilaporkan berada dalam keadaan terdesak apabila memilih untuk berunding secara langsung dengan wakil Israel — satu langkah yang sebelum ini dianggap tabu, lebih-lebih lagi ketika negara itu masih berada di bawah serangan.
Langkah tersebut juga dilihat sebagai usaha Beirut untuk mengelakkan pengaruh Iran daripada mendominasi rundingan gencatan senjata di wilayah mereka.
Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan pertemuan awal antara kedua-dua pihak tidak akan menghasilkan keputusan besar memandangkan jurang perbezaan masih ketara, khususnya berkaitan isu rundingan ketika konflik masih berlangsung.
Di peringkat domestik, kedudukan politik Netanyahu dilihat semakin goyah apabila sokongan terhadapnya menurun dalam tinjauan pendapat. Malah, bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, dilaporkan berpotensi memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti Likud sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.



