KUALA LUMPUR – Tokong yang menggemparkan orang ramai susulan penemuan kalimah Allah di Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring, Serkam di Jasin akan dirobohkan petang ini oleh pemiliknya.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, operasi perobohan dijadualkan kira-kira jam 2.30 petang ini akan diketuai ADUN Serkam Datuk Zaidi Attan dan dipantau bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, setakat ini pemilik tokong berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ajaran sesat seperti mana yang tular di media sosial.
“Namun Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan polis akan tetap menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Insya-Allah tokong itu akan dirobohkan segera oleh pemilik tanah petang ini,” katanya menurut media di Melaka pada Khamis.
Terdahulu media melaporkan penemuan kalimah Allah pada sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring di sini disiasat pihak berkuasa kerana dikhuatiri menimbulkan sensitiviti agama.
Kalimah itu dikesan sekumpulan pemancing yang kebetulan melalui kawasan berkenaan malam tadi sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Rahmad berkata hasil pemeriksaan mendapati tokong binaan batu berwarna merah itu didirikan menghadap pantai serta berhampiran tanah berpagar milik tanah persendirian.
Katanya, siasatan awal mendapati struktur tokong berkenaan dipercayai dibina sejak dua hingga tiga tahun lalu.
Namun katanya, kewujudan tulisan kalimah ‘Allah’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ itu hanya dikesan pada malam kejadian,” katanya.



