Fahmi Fadzil setuju selesaikan saman fitnah terhadap pemilik akaun Facebook N13 Kuang

KUALA LUMPUR, — Kes saman fitnah yang difailkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil terhadap pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan, berhubung dakwaan beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang pada 2023, hari ini diselesaikan secara persetujuan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Fahri Azzat yang mewakili Fahmi memaklumkan kepada Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian dan bersetuju dengan penghakiman persetujuan.

Perkara itu turut disahkan peguam Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili Mohd Fauzan selaku defendan.

Susulan persetujuan tersebut, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan bagi menamatkan kes saman berkenaan.

Menurut peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang turut mewakili Fahmi, dua perkara utama telah dipersetujui oleh pihak defendan.

“Pertama, defendan mengakui bahawa ucapan YB Fahmi bukan kempen politik dan bukan ucapan berbaur politik.

“Kedua, defendan berasa kesal terhadap sebarang salah faham yang timbul akibat kenyataan yang dikeluarkan di Facebook ‘N13 Kuang’ yang menjadi subjek kes ini,” katanya semasa sidang media.

Beliau berkata, defendan juga secara ikhlas mengakui bahawa ucapan Fahmi pada 30 Julai 2023 di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor ketika tempoh Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 bukan satu kempen politik atau ucapan berbaur politik.

Dalam perkembangan sama, Fahmi ketika ditemui media menghargai pengakuan Mohd Fauzan serta persetujuan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik.

“Pengesahan beliau itu amat saya hargai dan saya tunggu bersama pasukan peguam sama ada dua kes seterusnya akan diteruskan atau tidak,” katanya.

Selain Mohd Fauzan, Fahmi turut memfailkan saman terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani serta Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo berhubung isu sama.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 5 September 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kenyataan fitnah yang menuduh beliau menyalahgunakan tempat ibadah, iaitu masjid, bagi tujuan kempen pilihan raya serta bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Menurut plaintif, kenyataan fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun yang sama.

Fahmi turut mendakwa kenyataan tersebut tidak berasas dan Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti yang didakwa.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan serta perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat