PUTRAJAYA,— Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan tanggapan bahawa rakyat disekat daripada menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, sebaliknya menjelaskan isu sebenar adalah berkaitan siasatan salah guna identiti melibatkan empat keping MyKad di Kelantan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, JPN menegaskan tiada sebarang sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad masing-masing bagi mendapatkan subsidi bahan api bersasar selagi mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut JPN, kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara sebelum ini telah disalah tafsir apabila ia sebenarnya merujuk kepada siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemilik asal.
“Tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan tersebut.
Jabatan itu menjelaskan, BUDI95 merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih bersasar, telus dan berkesan demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, JPN mengingatkan bahawa penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Dalam konteks kes yang dilaporkan, siasatan tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan empat keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan. Kenyataan Ketua Pengarah bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan kerajaan,” jelas kenyataan itu lagi.
JPN turut menggesa orang ramai supaya tidak menyerahkan MyKad kepada pihak lain bagi sebarang urusan, termasuk pembelian bahan api bersubsidi, kerana tindakan itu boleh membawa implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti.
Dalam masa sama, JPN menjelaskan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan subsidi di bawah BUDI95 adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan.
Kenyataan itu turut menggesa semua pihak supaya merujuk sumber rasmi sebelum membuat sebarang tafsiran bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.



