Jangka hayat rakyat Malaysia dijangka cecah 81 tahun, ahli disaran tambah simpanan – KWSP

KUALA LUMPUR – Peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia yang dijangka mencecah 81 tahun menjelang 2050 berbanding 76 tahun pada 2024 bermakna simpanan persaraan perlu bertahan lebih lama.

Dalam konteks ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn, berkata bekerja lima tahun lebih lama berpotensi meningkatkan simpanan persaraan sehingga 40 peratus, sekali gus membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran peningkatan jangka hayat dan kos sara hidup pada masa depan.

Menurutnya, unjuran itu adalah berdasarkan simulasi yang mengambil kira pulangan dividen tahunan sekitar lima peratus serta pertumbuhan gaji tiga peratus setahun.

“Di Malaysia, umur persaraan minimum ditetapkan pada 60 tahun, manakala umur pengeluaran penuh simpanan KWSP kekal pada 55 tahun sejak penubuhan KWSP pada 1951.

“Selaras dengan umur persaraan minimum kebangsaan, KWSP telah memperkenalkan Akaun Emas, di mana caruman baharu selepas umur 55 tahun akan dikreditkan ke akaun tersebut dan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun,” katanya menurut BH pada Isnin.

Ahmad Zulqarnain berkata, sebarang cadangan berkaitan umur persaraan minimum atau umur pengeluaran simpanan memerlukan penelitian menyeluruh serta libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk mengambil kira faktor tahap

kesihatan, perbezaan sektor pekerjaan dan kesejahteraan pekerja.

Menurutnya, dalam hal ini Akaun Emas memperkukuh perancangan persaraan bagi ahli berumur 55 hingga 60 tahun.

Katanya, ia adalah pelengkap wajib bagi pekerja sektor formal, dengan caruman terkunci sehingga umur 60 tahun, membolehkan akaun itu berkembang dengan dividen KWSP.

“Ini menggalakkan simpanan yang lebih lama dan mengurangkan risiko ketidakcukupan dana persaraan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat