Cyberjaya – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian wartawan penyiaran terkenal, Karam Singh Walia yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan negara.
Menurut beliau, Allahyarham merupakan figura yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya penonton Buletin TV3 sejak era 1990-an hingga sekitar tahun 2014.
“Perginya Datuk Karam Singh Walia meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam dunia kewartawanan negara. Beliau sentiasa mewarnai penyampaian berita dengan gaya tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata, antara identiti paling diingati ramai ialah penggunaan pantun di penghujung setiap laporan berita, yang menjadi keunikan tersendiri dan kekal dalam ingatan penonton.
“Sesiapa sahaja yang menonton Buletin TV3 pasti cukup mengenali penampilan beliau yang begitu sinonim dengan pantun yang mengakhiri setiap laporan,” katanya lagi.
Beliau turut mengakui sebagai antara penonton setia yang mengikuti laporan Allahyarham dan menghargai dedikasi serta sumbangan besar beliau dalam dunia penyiaran tanah air.
Dalam masa sama, Fahmi menzahirkan ucapan takziah kepada Pengarang Urusan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh serta seluruh ahli keluarga Allahyarham atas kehilangan tersebut.
Pemergian Karam Singh Walia disifatkan bukan sahaja kehilangan buat industri media, malah kepada seluruh rakyat Malaysia yang membesar dengan laporan berita beliau yang penuh identiti dan berjiwa rakyat.



