WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadap Iran menerusi platform Truth Social pada pagi Easter, dengan penggunaan pelbagai bahasa kesat dalam hantaran tersebut.
Dalam kenyataan itu, Trump memberi amaran keras supaya Iran membuka Selat Hormuz atau berdepan tindakan tegas daripada Amerika Syarikat.
Beliau turut membayangkan kemungkinan serangan terhadap infrastruktur utama Iran termasuk loji janakuasa dan jambatan, sambil menggunakan kata-kata kesat dan berunsur penghinaan dalam mesej berkenaan.
Hantaran itu turut menarik perhatian apabila diakhiri dengan frasa “Praise be to Allah”, yang lazimnya digunakan dalam konteks keagamaan Islam.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada penggunaan frasa tersebut dibuat secara serius atau bersifat sindiran, memandangkan ia hadir dalam kenyataan yang mengandungi ugutan serta bahasa kasar.
Kenyataan berkenaan segera mencetuskan perhatian meluas di media sosial, selain menambah ketegangan dalam hubungan antara Amerika Syarikat dan Iran, khususnya melibatkan kepentingan strategik Selat Hormuz sebagai laluan utama perdagangan minyak dunia.
Sehingga kini, tiada penjelasan lanjut dikeluarkan oleh pihak Trump berhubung maksud sebenar frasa berkenaan.



