KUALA LUMPUR- Seorang bekas jurutera Petronas Mohd Farid Mohd Sangido tampil menjelaskan realiti sebenar Malaysia sebagai negara pengeluar minyak.
Jelas Farid, Malaysia memang ada minyak, tetapi kuantitinya sangat sedikit di mata dunia.
“Malaysia kan negara pengeluar minyak. Harga minyak tengah mahal. Kalau ikut logik formula, kita patut jadi lagi kaya. Tapi kenapa tak?”
“Ramai orang ingat, kita ada minyak, maka kita guna minyak sendiri dan jadi harga minyak patut lagi murah. Hakikatnya, tak macam tu.
“Malaysia memang ada minyak, tapi sikit di mata dunia. Malaysia hasilkan sekitar 0.6 – 0.7 peratus daripada minyak dunia sahaja.
“Kalau kita bandingkan dengan Saudi Arabia, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia- mereka kawal sebahagian besar bekalan minyak dunia.
“Kita? kecil sahaja, terlalu kecil. Maknanya, kita tak ada kuasa pun untuk tentukan harga global,” terang Farid dalam hantaran di media sosialnya.
Menjelaskan lebih lanjut, bekas kakitangan Petronas itu memberitahu, minyak Malaysia berkualiti tinggi.
“Minyak kita ni jenis low sulphur (sweet crude).
“Kelebihannya minyak keluaran Malaysia lebih bersih, lebih mahal dan lebih mudah diproses
“Oleh sebab tu, Malaysia banyak eksport minyak sendiri.
“Lagipun minyak berkualiti tinggi ni digunakan untuk industri yang ‘mahal’ macam pengangkutan udara, kapal, industri penapisan dan produk petrokimia,” kata Farid.
Tetapi realitinya kata beliau, Malaysia import minyak juga untuk kegunaan harian (petrol kereta), Malaysia import minyak mentah dari luar terutamanya Timur Tengah
“Kenapa? Kerana ia lebih murah dan sesuai dengan refinery kita.
“Refinery Malaysia tak semua sesuai. Kilang kita dibina sejak berpuluh tahun dulu untuk proses minyak jenis tertentu.
“Nak tukar kepada minyak kita sendiri? Ia melibatkan kos tinggi, ambil masa lama dan perlu ubah keseluruhan sistem,” ujarnya lagi.
Menjelaskan hal itu, Farid berkata Malaysia adalah pengeluar dan juga pengguna minyak.
“Ini isu paling penting. Malaysia bukan sekadar jual minyak. Kita juga beli minyak, proses minyak dan guna minyak.
“Sebab itu, apabila harga global naik – kos import naik, kos pengeluaran naik dan subsidi pun meningkat.
“Bahasa mudahnya, kita jual minyak kita yang berkualiti tinggi dan mahal ni ke luar negara, dan kita beli minyak biasa untuk kegunaan negara kita,” jelas Farid.
Kesimpulannya kata beliau, “Ya, Malaysia memang ada minyak.
“Tapi realitinya kita bukan pengeluar besar dan kita jual minyak mahal.
“… dan kemudian kita beli minyak lain serta kita terikat dengan harga global.
“Sebab itu, apabila harga minyak naik itu tak bermaksud Malaysia automatik jadi kaya.
“Tak semua formula yang kita sedap dengar dulu tu sebenarnya benar dalam dunia sebenar.
“Bahkan dalam dunia sebenar, minyak bukan sekadar sumber.Ia adalah, sistem global yang kompleks,” kata Farid lagi.


