KUALA LUMPUR – Kos bahan api dalam Ringgit Malaysia (RM) terus menurun dengan ketara namun isu kenaikan bil elektrik kembali menjadi perhatian.
Ini apabila kenyataan terbaharu kerajaan menunjukkan pengguna tertentu bakal membayar lebih, meskipun harga bahan api global telah lama menurun sejak harga puncaknya pada September 2022.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz membangkitkan persoalan, selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Madani Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menikmati keuntungan yang relatif lebih tinggi, rakyat berhak tahu ke mana sebenarnya pergi hasil pendapatan berikutan kejatuhan harga bahan api global yang begitu banyak itu sepanjang tahun 2023 hingga 2026?
Katanya, di saat kos penjanaan dan harga global rendah, kenapa kerajaan mengumumkan pengguna, rakyat dan perniagaan, dengan penggunaan elektrik tinggi (melebihi 600kWj/bulan) akan merasai kenaikan tertinggi, yang mungkin bermula dari bil April 2026?
“Alasan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi kenaikan bil elektrik pengguna yang melebihi RM215.98 antaranya – unjuran kos bahan api masa depan; kos modal dan pelaburan infrastruktur.
“Keperluan sistem lebih stabil dan reliable; mekanisme baharu Automatic Fuel Adjustment (AFA) diperkenalkan sejak Julai 2025 menggantikan ICPT, dengan pelarasan dibuat secara bulanan berdasarkan harga bahan api dan kadar tukaran asing.
“Bahkan, berikutan Perang Amerika Syarikat, Israel dan Iran, bagi April 2026, kerajaan mengumumkan – rebat AFA diturunkan kepada 0.47 sen/kWh dan lebih rendah berbanding 2.15 sen/kWh pada Mac.
“Ini menyebabkan bil pengguna berkemungkinan meningkat kerana diskaun semakin kecil. Pengguna melebihi 600 kWh (sekitar RM215.98 ke atas) akan mula merasai kesan pelarasan ini,” jelas beliau.
Menurut Tun Faisal, persoalannya, sejak September 2022, berdasarkan data dari Trading Economics, harga arang batu dan gas asli global adalah dalam trend menurun.
Katanya, ia disokong oleh faktor Ringgit (RM) yang lebih tinggi (RM4.02) meningkatkan lagi penurunan kos bahan api.
“Malah gas kini lebih murah berbanding 2024–2025 dalam nilai sebenar.
“Begitu juga dengan kos penjanaan elektrik secara asas sepatutnya lebih rendah berbanding beberapa tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun Tun Faisal menegaskan, polisi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani tidak berkadaran langsung dengan harga arang batu dan gas asli global.
Ujar beliau, polisi berkaitan ICPT dan tarif elektrik tidak dilihat melindungi dan menguntungkan rakyat.
“Rebat dikurangkan (2.15 → 0.47 sen/kWh), menyebabkan bil efektif meningkat
“Apabila harga arang batu global jatuh hampir 80% dan harga gas asli global turun sebanyak 70%, ditambah pula dengan peningkatan nilai ringgit, logiknya kos sebenar penjanaan elektrik pastinya menurun drastik. Tetapi rakyat tidak menikmati penurunan tersebut. Sebaliknya, mereka dipaksa membayar lebih,” bidas beliau.



