7 kapal milik Malaysia terkandas di Selat Hormuz dibenar teruskan berlayar

KUALA LUMPUR- Tujuh buah kapal milik Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah yang kini terkandas di Selat Hormuz sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Iran untuk meneruskan pelayaran pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, buat masa ini, kesemua kapal itu yang dinaiki 282 orang anak kapal warganegara Malaysia itu masih lagi menunggu masa sesuai sebelum dapat meneruskan pelayarannya melalui Selat Hormuz.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, pelayaran ketujuh-tujuh kapal tersebut masih tergendala disebabkan laluan Selat Hormuz kini mengalami kesesakan luar biasa.

Katanya, difahamkan, pada masa kini laluan tersebut dibanjiri kira-kira 2,000 kapal lain yang masih tidak mendapat kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.

Keadaan itu mengakibatkan perairan dengan titik sempit hanya selebar 33 kilometer itu mengalami kesesakan.

“Kapal-kapal kita telah mendapat kebenaran daripada Iran. Bagaimanapun, Selat Hormuz mengalami kesesakan dengan 2,000 kapal masih terkandas.

“Apabila keadaan keseluruhan bertambah baik, kapal-kapal Malaysia boleh saja berlayar, hanya menunggu masa yang tepat dan selamat sahaja,” katanya menurut Utusan.

Beliau berkata, buat masa ini, tiada masa yang spesifik untuk dimaklumkan mengenai pergerakan kapal-kapal milik Malaysia yang terkandas namun pelayaran akan berlaku pada bila-bila masa apabila keadaan trafik diselesaikan.

Pada masa sama, Ikmal Azam berkata, semua pihak sedang menunggu keputusan Wisma Putra, Jabatan Laut Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung tindakan seterusnya.

“Ini termasuk pertimbangan terhadap langkah pemindahan (evakuasi) sekiranya keadaan memerlukan. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan tujuh buah kapal milik Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah, dua lagi kapal pemasangan paip dan kapal sokongan luar pesisir serta kapal gas asli cecair (LNG), terkandas di Selat Hormuz.

Kemudiannya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, kesemua kapal tersebut sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Iran untuk berlayar pulang ke tanah air melalui selat yang dikawal ketat oleh tentera Iran.

Konflik yang mengakibatkan lonjakan harga minyak global dan kekurangan bekalan minyak mentah membabitkan banyak negara itu berlaku akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya rejim Zionis Israel yang menyerang Iran empat minggu lalu.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Ikmal Azam turut memaklumkan seramai 282 rakyat Malaysia di atas ketujuh-tujuh kapal merangkumi pelbagai ja­watan dan tanggungjawab berada da­lam keadaan baik.

“Daripada segi kebajikan, di­maklumkan segala bekalan ma­kanan dan air bersih adalah men­cukupi pada masa ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat