Oleh Zihan Zari
SEPANG – Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan merupakan projek di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP1 RMK-12) dengan nilai kontrak asal sebanyak RM 55.885 juta dijadualkan siap sepenuhnya April ini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Hj. Ahmad Maslan, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Projek Pembinaan Sekolah Baharu 42 Bilik Darjah dan kemudahan lain mengikut piawai di SMK Kota Warisan, dekat sini baru-baru ini.
“Tarikh milik tapak bagi projek ini ialah pada 13 Jan 2023, manakala tarikh siap semasa ditetapkan pada 21 April 2026 dan kemajuan semasa projek telah mencapai 99 peratus (%) penyiapan fizikal di tapak.
“Skop projek ini merangkumi pembinaan 42 bilik darjah serta pelbagai kemudahan lain mengikut piawaian yang telah ditetapkan terdiri daripada bangunan pentadbiran, blok pendidikan khas (PPKI), makmal, bengkel dan kemudahan sokongan yang berkaitan, ”kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor juga sedang melaksanakan 80 projek di bawah kerja pendidikan dengan kos bernilai RM 682.88 juta merangkumi 53 projek di peringkat perancangan meliputi pembinaan sekolah berkepadatan tinggi IBS.
Selain itu, Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung, sekolah daif dan bangunan prasekolah serta sebanyak 27 projek bernilai RM629.58 juta yang kini pada peringkat pembinaan dengan 8 projek adalah Ahead of time (AOT).
Katanya, pada tahun 2025, JKR Selangor telah berjaya menyerahkan 122 bilangan projek di bawah kerja pendidikan di Negeri Selangor dengan kos keseluruhan berjumlah RM 84.23 juta .
“JKR Malaysia melaksanakan sebanyak 1, 492 projek di seluruh Malaysia dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM 37.98 bilion manakala sebanyak 771 projek dalam peringkat Pra Bina dan 721 projek di peringkat Pasca Bina.
“Kerajaan persekutuan melalui KKR akan terus komited dalam memantau prestasi kemajuan projek bagi memastikan projek ini dapat diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut garis masa yang ditetapkan demi manfaat anak-anak bangsa, ”ujarnya. – SUARA.TV



