KUALA LUMPUR – Dua wanita warga Israel dihalang daripada memasuki negara ini selepas tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lepas.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, kedua-dua individu berkenaan tiba di KLIA 2 untuk tujuan transit sebelum meneruskan perjalanan ke Manila, Filipina.
Bagaimanapun, setibanya di pintu masuk negara, kedua-duanya telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) oleh pihak berkuasa mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Masing-masing telah dikenakan NPM mengikut proses biasa dan kemudiannya telah dihantar balik ke lokasi pelepasan terakhir mereka iaitu di Phuket, Thailand.
“Proses penghantaran pulang dilakukan pada petang hari yang sama, iaitu Rabu lalu,” katanya menurut Utusan.
Difahamkan, kedua-dua wanita tersebut memulakan perjalanan dari Phuket ke KLIA Terminal 2 dengan menaiki penerbangan AirAsia.
Mereka dijadualkan menukar penerbangan ke Manila dengan menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan Cambodia Airlines sebelum tindakan menghalang kemasukan itu diambil pihak berkuasa.
Tindakan tegas itu mencerminkan komitmen agensi keselamatan sempadan negara dalam memastikan prosedur kemasukan warga asing dipatuhi sepenuhnya selaras dengan dasar kedaulatan negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.



