Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai hospital rujukan terbesar dalam negara, bukan sahaja mengendalikan pesakit dalaman tetapi juga sering menerima rujukan kes Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) daripada hospital-hospital kerajaan yang lain, khususnya dari sekitar Lembah Klang, kata Pengarahnya, Dato’ Dr. Harikrishna K.R. Nair.
Dr. Harikrishna berkata demikian menjawab kepada laporan sebuah portal bertarikh 25 Mac lalu berhubung kekangan perkhidmatan MRI di HKL.
Beliau menjelaskan Jabatan Radiologi HKL kini beroperasi dengan dua buah mesin MRI di Blok Utama bagi menampung permintaan pesakit, dengan kapasiti optimum bagi kedua-dua mesin ini adalah di antara 24 hingga 28 kes sehari, bergantung kepada kerumitan kes dan keadaan pesakit.
“Walau bagaimanapun, jumlah pemeriksaan harian pernah mencecah sehingga 36 kes bagi memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan dan kritikal yang perlu disegerakan.
“Bagi mengatasi masalah kesesakan dan mengurangkan waktu menunggu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan inisiatif Hospital Services Outsourcing Programme (HSOP) di HKL,”jelasnya lagi dalam kenyataan.
Katanya, pada tahun 2025, HKL telah mengoptimumkan penggunaan slot sebanyak 96.8 peratus (%), iaitu menggunakan 365 daripada 377 slot yang diperuntukkan.
“Langkah ini telah berjaya mengurangkan
masa menunggu pesakit sebanyak 33%, daripada 24 minggu kepada 16 minggu
manakala bagi tahun 2026 pula, HKL telah memohon sebanyak 640 slot MRI, iaitu peningkatan sehingga 70% untuk terus mengurangkan senarai menunggu pesakit, ”ujarnya.
Tegasnya, HSOP tidak terhenti dan peruntukan dana baru sahaja diterima pada 19 Mac 2026 yang lalu dan program ini telah dilaksanakan semula oleh HKL secara rasmi pada 25 Mac 2026.
“Pihak HKL dan KKM sentiasa komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kekal efisien dan memenuhi piawaian penjagaan kesihatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia, ”tambahnya. – SUARA.TV



