KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda Pas Muhammad Hanif Jamaluddin mempersoalkan pengurangan kuota subsidi BUDI95 dari 300 liter sebulan kepada 200 liter membantu siapa sebenarnya?
“Adakah tindakan kerajaan ini benar-benar langkah menyusun semula subsidi untuk keadilan atau sekadar cara mudah mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan memindahkan beban kepada sebahagian rakyat? soal beliau.
Menurut Hanif, persoalan subsidi bahan api hari ini bukan sekadar soal angka tetapi soal keadilan dasar.
“Ok kita ambil contoh mudah, seorang pengguna (pakcik A) mempunyai kuota subsidi 300 liter. Namun, penggunaan sebenar beliau hanya 100 liter. Dalam situasi ini, kerajaan sebenarnya hanya menanggung subsidi bagi 100 liter sahaja, baki 200 liter langsung tidak memberi beban kewangan kepada kerajaan kerana ia tidak digunakan.
“Jadi persoalan penting timbul, jika kerajaan hanya membayar berdasarkan penggunaan sebenar, mengapa perlu dikurangkan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter?
“Secara logiknya, pengguna yang memang menggunakan kurang daripada kuota tidak memberi kesan besar kepada perbelanjaan subsidi kerajaan.
“Tetapi pengurangan kuota akan memberi kesan langsung kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Contohnya pekerja jarak jauh, peniaga kecil atau mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk pendapatan,” ujar Hanif.
Kesan daripada itu katanya, rakyat yang menggunakan lebih (kerana keperluan, bukan kemewahan) terpaksa menanggung kos tambahan.
“Manakala penjimatan kerajaan datang daripada poket rakyat sendiri, bukan daripada pembaziran atau ketirisan sebenar
“Adakah tindakan kerajaan ini benar-benar langkah menyusun semula subsidi untuk keadilan atau sekadar cara mudah mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan memindahkan beban kepada sebahagian rakyat? katanya.



