JAKARTA – Kerajaan Indonesia menyasarkan penjimatan belanjawan sehingga 80 trilion rupiah (kira-kira AS$4.7 bilion – RM18.5 bilion) bagi mengurangkan kesan ekonomi susulan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Iran.
Menurut laporan media antarabangsa, langkah tersebut diambil bagi melindungi ekonomi negara itu daripada kesan kenaikan harga minyak global yang berpunca daripada ketegangan geopolitik di rantau berkenaan.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan perbelanjaan dengan mengehadkan penggunaan tenaga serta meningkatkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar.
Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan beberapa langkah penjimatan bahan api termasuk cadangan pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) satu hari seminggu bagi kakitangan kerajaan dan sebahagian sektor awam.
Indonesia yang mempunyai lebih 284 juta penduduk merupakan antara negara yang memberi subsidi bahan api secara besar-besaran kepada rakyatnya. Kerajaan menanggung kira-kira 30 hingga 40 peratus kos bahan api pengguna, dengan subsidi tersebut merangkumi sekitar 15 peratus daripada keseluruhan belanjawan negara.
Walaupun harga minyak dunia meningkat, Indonesia setakat ini dilaporkan belum mengalami situasi barisan panjang di stesen minyak, berbeza dengan beberapa negara lain yang turut terjejas akibat kenaikan harga tenaga.
Penganalisis ekonomi berpandangan langkah penjimatan tersebut penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terbesar di Asia Tenggara itu sekiranya konflik geopolitik global berterusan.



