Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara sedang mempersembahkan Pameran Perolehan Terkini 2015 – 2025: ‘Satu Dekad Penuh Cerita’, di Galeri 2A, Balai Seni Negara, dekat sini sehingga Dis 2027.
Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan pameran ini menampilkan karya-karya terpilih daripada Koleksi Seni Visual Negara yang diperoleh sepanjang tempoh sepuluh tahun yang lalu.
“Sebagai institusi peneraju seni visual negara, Balai Seni Negara komited dalam
memperkaya dan memperkukuh Koleksi Seni Visual Negara melalui proses perolehan
yang berlandaskan kajian, penelitian serta rujukan pakar dalam bidang seni visual,”kata kenyataan itu.
Katanya, sepanjang tempoh 2015 hingga 2025, sebanyak 279 karya seni visual telah berjaya
diperoleh, dan daripada jumlah tersebut, 88 karya dipilih untuk dipamerkan dalam
pameran ini.
“Pameran ini mengetengahkan pelbagai manifestasi kreatif yang merangkumi isu sosial, budaya, politik dan teknologi, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat dan
kepelbagaian landskap seni visual tempatan dalam mendepani perubahan zaman.
“Kepelbagaian medium, pendekatan dan wacana yang dipersembah memperlihatkan
peranan karya seni sebagai rakaman visual terhadap naratif serta pengalaman
masyarakat Malaysia, ”katanya lagi.
“Pameran ini bukan sekadar himpunan karya, malah merupakan dokumentasi visual terhadap evolusi pemikiran, eksperimen artistik dan respons seniman terhadap konteks semasa.
“Ia turut memperkukuh hubungan antara seni visual dan masyarakat, di samping menzahirkan komitmen berterusan Balai Seni Negara dalam memelihara, mendokumentasikan serta menjamin kelestarian Koleksi Seni Visual Negara untuk tatapan generasi akan datang, ”ujarnya.
Orang ramai dijemput mengunjungi pameran ini bagi menghayati keunikan dan kepelbagaian karya yang membentuk landskap seni negara sepanjang satu dekad.-SUARA.TV



