Takiyuddin juga jumpa Zahid, diketahui Hadi namun tak wujud ‘Bangkok Move’ seperti didakwa

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand pada Disember lalu.

Takiyuddin berkata, selain beliau pertemuan itu turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Bagaimanapun katanya, pertemuan itu hanya perbincangan biasa dan tiada tujuan khusus selain tiada Langkah Bangkok atau ‘Bangkok Move’ sebagaimana yang dikaitkan sesetengah pihak.

“Saya mengesahkan saya hadir pada pertemuan berkenaan di Bangkok. Namun kehadiran sana dengan pengetahuan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Saya dijemput sebagai Ketua Whip, manakala Datuk Seri Hamzah pula sebagai Ketua Pembangkang dan kami berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri di Bangkok.

“Tiada satu spesifik tujuan menerusi pertemuan itu, kita pergi sekadar berjumpa dan sekadar bertukar fikiran dan kebetulan masa itu Sukan SEA, kita pergi tengok Sukan SEA.

“Tidak wujud sebarang gerakan atau dikatakan Langkah Bangkok sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak. Pertemuan itu di antara BN dan PN,” katanya menurut BH di Kelantan pada Khamis.

Takiyuddin berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pertemuan berkenaan dikaitkan dengan Langkah Bangkok, ia hanya prasangka.

“Nak ke Bangkok memang la kena melangkah. Apa yang pasti saya pergi ke sana dengan pengetahuan presiden, parti lain saya tidak tahu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid mengakui mengadakan pertemuan dengan Hamzah pada tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan parti Melayu dan Islam.

Menurut laporan media, beberapa sumber daripada parti politik memaklumkan, selain Hamzah, Ahmad Zahid juga dikatakan bertemu Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN.

Pertemuan itu dipercayai berlangsung pada awal Disember tahun lalu sewaktu Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, melakukan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat