KUALA LUMPUR – Kekuatan masa depan politik Sabah tidak hanya bergantung kepada parti atau tokoh semata-mata, tetapi kepada pemimpin yang mampu mengemukakan idea, membina keyakinan rakyat dan menjelaskan dengan articulate kedudukan Sabah dalam Malaysia dan juga di peringkat serantau.
Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, politik masa depan Sabah kemungkinan besar akan dipengaruhi oleh persaingan idea, dasar pembangunan dan keupayaan memperjuangkan kepentingan negeri.
Yakni katanya, parti yang mampu melahirkan kepimpinan baharu serta menawarkan gagasan yang selari dengan aspirasi rakyat Sabah akan mempunyai kelebihan.
“Sejak Sabah bersama Sarawak,Singapura dan Tanah Melayu membentuk Malaysia pada tahun 1963, politik negeri ini sentiasa dinamik dan jarang statik. Parti politik, sama ada tempatan atau nasional, boleh menjadi kuat untuk satu tempoh tetapi kemudian pengaruhnya menurun.
“Pengundi Sabah cenderung menilai parti berdasarkan prestasi semasa dan kepimpinan, bukan kesetiaan jangka panjang kepada satu parti sahaja. Sejarah menunjukkan parti tempatan di Sabah biasanya dominan sekitar satu hingga dua dekad sebelum pengaruhnya merosot. Antaranya ialah United Sabah National Organisation yang dominan hingga 1976, diikuti oleh Sabah People’s United Front (BERJAYA) yang memerintah dari 1976 hingga 1985, dan kemudian Parti Bersatu Sabah yang memerintah dari 1985 hingga 1994.
“Corak naik dan turun pengaruh ini bukan sahaja berlaku kepada parti tempatan. Parti nasional seperti United Malays National Organisation (Umno), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengalami perubahan tahap sokongan di Sabah.
“Kebangkitan parti-parti utama di Sabah sering berkait rapat dengan tokoh kepimpinan tertentu. Mustapha Harun memimpin United Sabah National Organisation, Harris Salleh memimpin Sabah People’s United Front, dan Joseph Pairin Kitingan memimpin Parti Bersatu Sabah,” kata bekas Ketua Menteri Sabah itu lagi.
Menurut beliau, dalam era yang lebih terkini, pengaruh Datuk Seri Shafie Apdal melalui Parti Warisan dan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menunjukkan bagaimana kekuatan parti sering berkait rapat dengan kepimpinan individu.
“Dalam kalangan generasi muda Sabah, semakin berkembang kesedaran tentang hak negeri, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan identiti Sabah. Semangat nasionalisme negeri ini menjadikan pengundi lebih terbuka kepada parti yang dilihat mampu mempertahankan kepentingan Sabah.
“Dalam konteks ini, penting untuk mengenal pasti satu kelompok pemimpin muda yang berpendidikan dan memahami sejarah politik Sabah serta kedudukan strategik negeri ini dalam konteks geopolitik serantau. Sabah berada di kawasan strategik Borneo dan Asia Tenggara, dan kefahaman tentang geopolitik ini penting dalam membentuk kepimpinan masa depan,” ujarnya.



