KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Pandan Syed Rosli Jamalullail mengingatkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi risiko dan hakikat yang bakal dihadapi parti Melayu itu sekiranya berterusan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP.
Mengakui fakta bahawa Umno tidak lagi sekuat dulu, namun Syed Rosli untuk bersama dengan PH berterusan sehingga PRU16 akan mengundang lebih lagi penolakan orang Melayu dan ahli Umno.
“Assalamualaikum Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikasihi. Untuk pengetahuan Datuk Seri, saya dan saya yakin ramai ahli-ahli Umno di akar umbi masih tidak yakin dan menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan juga PH terutama DAP menjadi kerajaan.
“Ya, kita tidak kuat namun untuk bersama dengan PH berterusan sehingga PRU16 akan mengundang lebih lagi penolakan orang Melayu dan ahli Umno.
“Saya yakin Umno kena bangkit tapi bukan berkawan dengan PH yang idealogi politik amat jauh berbeza.
“Kita sedia bersusah payah demi prinsip perjuangan dan tidak lupa dengan keadilan bossku (Kes Titah Addendum disorok) adalah satu bentuk kezaliman buat bekas pemimpin yang kami masih sayangi.
“Saya yakin Datuk Seri bukan calang-calang pemimpin politik, Datuk Seri amat berpengalaman dan amat bijaksana dalam politik negara ini dan yakin ada perancangan yang hebat sedang dirancang demi kebangkitan Umno semula, saya doakan Allah permudahkan segala urusan buat Datuk Seri.
“Kami sayang kepada Presiden dan Umno, lakukanlah yang terbaik buat Umno, Islam dan orang Melayu,” rayu Syed Rosli dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.



