KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gambaran bahawa kesalahan dilakukan Naib Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tidak setara dengan kes melibatkan bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, perkara itu antara faktor Ronald tidak dikenakan tindakan pemecatan oleh Lembaga Disiplin parti.
Muhyiddin menjelaskan, walaupun Ronald turut berada dalam pertemuan bersama Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok sebelum ini, namun Hamzah didakwa mengetuai rundingan tanpa mendapat restu pucuk pimpinan parti.
“Tapi ini bukan tugas saya, ini tugas Lembaga Disiplin. Lembaga Disiplin menimbang weightage of case.
“Macam Datuk Hamzah pergi (berjumpa Zahid) itu dah sah. Saya sebutkan dulu dia pergi berunding tanpa ada kelulusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi. Dia melanggar perlembagaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Muhyiddin menegaskan, keputusan terhadap mana-mana kes disiplin dibuat sepenuhnya oleh Lembaga Disiplin berdasarkan laporan lengkap dan siasatan terperinci.
Menurutnya, setiap individu yang terlibat turut diberikan ruang serta peluang untuk membela diri sebelum sebarang tindakan diambil.
“Lembaga Disiplin tidak bertindak sewenang-wenangnya. Mereka menilai laporan lengkap dan pihak yang terlibat diberi ruang untuk membela diri sebelum keputusan dibuat,” ujarnya.
Tambah beliau, Bersatu tetap mengamalkan prinsip demokrasi dalam parti dengan memberi hak kepada ahli untuk bersuara selagi ia mematuhi peraturan serta perlembagaan parti.
“Parti ini mengamalkan demokrasi dan ahli mempunyai hak untuk bersuara, tetapi ia perlu berpandukan kepada peraturan serta perlembagaan yang sedia ada,” katanya.
Terdahulu, Ronald dalam satu kenyataan mengakui beliau memang terbabit secara langsung dalam beberapa program bersama Hamzah termasuk pertemuan dengan Zahid di Bangkok tahun lalu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa dirinya tidak dikenakan tindakan pemecatan walaupun hadir bersama Hamzah dalam pertemuan tersebut.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau masih menunggu keputusan berhubung isu pelantikan Ketua Pembangkang yang dijangka diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 14 Mac ini.
“Saya dengar Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah umumkan perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut. Jadi kita tunggu keputusan pada 14 hari bulan,” katanya.



