Wan Saiful tak pasti kenapa dipanggil beri keterangan terkait dakwaan perbincangan keluarga Daim, firma asing

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau antara individu yang dipanggil untuk beri keterangan merujuk kepada satu laporan polis yang tular di internet yang mendakwa wujud perbincangan antara keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dengan firma asing bagi menggunakan media antarabangsa untuk tujuan yang dikatakan salah.

Meskipun tidak mengetahui perkaitan beliau dengan perkara terbabit namun beliau tetap akan memberi kerjasama.

“Saya percaya laporan polis tersebut telah dibuat oleh seorang editor media yang turut menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam (PR consultancy).

“Saya tahu bahawa individu ini pernah menawarkan perkhidmatan perhubungan awam kepada Toh Puan Nai’mah untuk menangani tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dan keluarga. Tawaran tersebut telah ditolak oleh Toh Puan Nai’mah. Saya tidak menolak kemungkinan bahawa laporan polis ini dibuat untuk membalas penolakan tersebut dan jika itulah motifnya, maka integriti individu ini dalam menjalankan PR consultancy dan syarikat media boleh dipersoalkan.

“Saya juga merujuk kepada siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berhubung laporan polis tersebut yang mendakwa wujud aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Saya dimaklumkan beberapa orang rakan dari dunia akademik dan NGO telah dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan. Saya juga akan memberi keterangan hari ini tetapi tidak pasti kenapa saya dipanggil. Saya tertanya-tanya adakah ia satu cubaan untuk mengaitkan pembangkang dengan isu ini? ujar beliau dalam kenyataan media di Facebook pada Rabu.

Menurut Wan Saiful, dalam Hansard Dewan Rakyat bertarikh 17 April 2012, perbahasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu jelas menunjukkan bahawa “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” di bawah seksyen 124B adalah merujuk kepada aktiviti ganas yang tidak berperlembagaan untuk mengulingkan institusi parlimen yang telah dipilih melalui sistem demokrasi.

“Bagaimana pula aktiviti media atau kempen awam tiba-tiba boleh menjadi perkara yang disiasat di bawah seksyen ini?

“Takrifan “menjejaskan demokrasi berparlimen” telah dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang pada ketika itu, termasuk oleh Menteri KDN sekarang, yang bimbang mengenai takrifan yang longgar akan disalah guna oleh pihak berkuasa.

“Maka timbul persoalan asas: bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang “menjejaskan demokrasi berparlimen”?

“Adakah kempen awam oleh orang politik atau parti politik, atau kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan oleh media, juga akan menjadi kesalahan di bawah Kerajaan Madani ini? soal beliau.

Menurut Wan Saiful lagi, siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan ini adalah tidak munasabah dan satu penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Madani.

“Sekiranya dibiarkan, tindakan sebegini berpotensi mendatangkan impak serius terhadap kebebasan media, dan pengamal media berisiko disiasat di bawah seksyen berkenaan.

“Semua rakyat Malaysia berhak membela diri dan membetulkan naratif secara sah melalui saluran media massa atau mana-mana saluran yang mereka rasakan sesuai.

“Saya juga bimbang jika ada pengamal media yang tidak berjaya membida sesuatu projek kemudian menggunakan butiran yang mereka perolehi untuk menimbulkan masalah kepada pelanggan yang menolak mereka. Ini akan mewujudkan ketidakpercayaan kepada media yang sepatutnya menjadi “the fourth pillar of democracy”, kata beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat