KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahlian Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selama dua penggal pemilihan selepas didapati melanggar peruntukan perlembagaan parti.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu notis rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin Bersatu bertarikh 10 Mac 2026.
Menurut notis tersebut, keputusan penggantungan dibuat selepas Lembaga Disiplin bersidang pada 9 Mac 2026 dan mendapati Ronald melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang pada 9 Mac 2026 dan telah memutuskan bahawa YB Datuk Seri digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan,” menurut notis berkenaan.
Notis itu juga menyatakan bahawa dengan penggantungan tersebut, Ronald secara automatik dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan.
Dalam masa sama, beliau diberi hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis tersebut.
Surat penggantungan itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran merupakan antara pemimpin kanan Bersatu dan sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta beberapa jawatan penting dalam parti.



