KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak boleh kita pertikai bahawa apa yang dilakukan oleh Israel dengan dukungan Amerika Syarikat (AS), itu sudah nyata pelanggaran prinsip tantanan dunia.
Justeru katanya, Malaysia mengulangi pendirian kita mengutuk serangan dan menuntut supaya dihentikan perbalahan dan mencari kedamaian di rantau
Teluk dan juga Iran.
“Saya ingin menjelaskan bahawa untuk Malaysia sebagai negara berkembang kecil, tidak mudah memberikan ketetapan begini kerana bila berhadapan Israel apalagi
Amerika Syarikat (AS) tidak banyak negara yang tegas menyatakan pendirian mereka.
“Tapi, saya berunding dengan rakan-rakan saya, kita mengambil keputusan dan ketetapan untuk menyatakannya hak dan yang konsisten dengan dasar kita selama ini, menghormati kebebasan dan menentang segala bentuk pencerobohan oleh mana-mana negara terhadap negara lain.
“Dalam kes ini, tidak boleh kita pertikai bahawa apa yang dilakukan oleh Israel dengan dukungan Amerika Syarikat, itu sudah nyata pelanggaran prinsip tantanan dunia,” katanya.
Anwar sebelum itu, terlebih dahulu merakamkan takziah kepada Republik Islam Iran, terutama atas pemergian syahid Ayatollah Ali Khamenei, seluruh keluarga mangsa, para pemimpin serta komuniti pendidikan yang terbunuh akibat serangan bom oleh rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat.
Ujarnya, ini termasuk Brigadier Jeneral Aziz Nasirzadeh – Menteri Pertahanan danMahmoud Ahmadinejad – Bekas Presiden Iran serta pimpinan angkatan bersenjata. Maka kepada mereka, termasuk rakyat serta 180 kanak-kanak di Minab yang terkorban.
Menurut Anwar lagi, tidak boleh dipertikai kenyataan bahawa tindakan ganas ini menyerang negara berdaulat dan merdeka adalah tindakan biadap, melanggar prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan melanggar semua peraturan, ketetapan, dalam tantanan hukum undang-undang
dunia.
“Oleh itu, Malaysia dengan ini mengutuk keras serangan rejim zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
“Dan kita berpandangan bahawa tindakan ketenteraan yang berterusan ke atas negara bebas dan merdeka Iran, betapa pun perbezaan dasar dan sikap terhadap negara tersebut bertentangan dengan prinsip yang disepakati oleh dunia.
“Dan tindakan ketenteraan berterusan itu tentunya berisiko malah telah bermula menyebabkan ketegangan, eskalasi lebih besar dan menggugat kestabilan serantau terutama negara-negara Teluk yang semuanya atau kebanyakkannya diheret dalam kancah peperangan akibat dari serangan yang dimulakan oleh Israel yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat.
“Tentunya sebagai negara bebas dan merdeka, Malaysia hanya mampu menyeru supaya gencatan senjata berlaku tanpa syarat dengan serta merta dan kalau pun ada asas pertikaian, ia harus kembali ke meja rundingan secara konstruktif.
“Tantanan dunia termasuk PBB dengan kenyataan Setiausaha Agung Guterres baru-baru ini jelas mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Namun Israel adalah salah satu-satunya negara yang terus menerus melanggar ketetapan antarabangsa. Hari ini Iran, semalam Lubnan, sebelumnya Iraq, Syria dan pembantaian terhadap umat dan rakyat Palestine dan Gaza berterusan hingga kini,” kata beliau.
Sebab itu kata Anwar, kita tidak ada pilihan melainkan untuk menyatakan dengan tegas dan jelas, bahawa tindakan ini adalah tindakan yang bertentangan dengan peraturan tantanan dunia dan harus dibantah dengan keras.
“Pilihan lain tentunya selain daripada perdamaian ialah untuk mendapatkan kerjasama negara-negara Teluk supaya kembali bersatu, mengadakan rundingan, pertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau.
“Jika tidak, seperti yang boleh dijangka, giliran satu negara ke negara yang lain akan terus berlaku sepertimana yang pernah diungkapkan oleh beberapa pemimpin Israel, dan yang terkini memberi amaran kepada pemerintah Turkiye bahawa mereka juga tidak terlepas daripada kemungkinan serangan Israel,” kata beliau.



