Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Susulan konflik semasa di Iran, ruang udara di kawasan Timur Tengah telah terjejas dan semua penerbangan telah digantung buat masa ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya berkata pihaknya sedang memantau dan menilai keadaan perkembangan konflik ini dengan rapat, dan akan membuat pemakluman seterusnya pada masa yang sesuai.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad berkata berkenaan dengan tanggungjawab TH kepada bakal jemaah negara, tindakan TH seterusnya akan berdasarkan nasihat yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Saudi dan Wisma Putra.
Tegasnya, keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji negara adalah menjadi keutamaan pihak pengurusan TH.
Terdahulu media melaporkan, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu rapatnya, Israel telah melancarkan siri serangan udara ke atas Iran pada Sabtu.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pegawai kanan negara itu dilaporkan terbunuh, turut disahkan oleh saluran penyiaran milik kerajaan, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), dan agensi berita rasmi Iran.
Susulan itu, Iran telah melancarkan serangan balas menggunakan dron dan peluru berpandu dengan menyasarkan wilayah Israel serta ke pangkalan udara yang menempatkan dan kemudahan tentera AS di Timur Tengah termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Mesir, Arab Saudi, dan Iraq. – SUARA.TV



