Tutup Selat Hormuz: Minyak dunia berpotensi melonjak sehingga 40 peratus

KUALA LUMPUR- Harga minyak dunia berpotensi melonjak sehingga 40 peratus dalam jangka masa pendek selepas penutupan Selat Hormuz yang terletak antara Iran dan Semenanjung Arab.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, selat tersebut antara laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia dengan sebahagian besar eksport minyak Asia Barat melalui kawasan itu.

Katanya, sebarang gangguan terhadap laluan strategik itu boleh menjejaskan pasaran minyak global sekali gus mempengaruhi pergerakan harga minyak dunia.

“Berdasarkan pengalaman krisis geopolitik sebelum ini, pasaran minyak biasanya bertindak balas secara agresif terhadap risiko gangguan bekalan.

“Penutupan laluan strategik seperti Selat Hormuz berpotensi menyebabkan harga minyak melonjak dalam julat sekitar 20 hingga 40 peratus dalam jangka pendek bergantung kepada tempoh gangguan dan tindak balas pengeluar minyak lain.

“Jika penutupan berlarutan, harga boleh kekal tinggi kerana pasaran memerlukan masa untuk menyesuaikan rantaian bekalan alternatif dan mening­katkan pengeluaran dari kawasan lain,” katanya menurut Utusan pada Isnin.

Semalam, harga minyak mentah Brent melonjak 2.87 peratus kepada AS$72.87 setong, manakala WTI menokok 2.78 kepada AS$67.02 setong selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran dengan sasaran lokasi-lokasi utama di ibu negara itu.

Serangan berlaku susulan keengganan Iran untuk tunduk dengan tuntutan AS mengenai program nuklear dan peluru berpandu.

Mengulas lanjut, Idham berkata, kenaikan harga minyak dijangka turut memberi kesan lebih luas terhadap ekonomi global termasuk peningkatan tekanan inflasi serta kos pengeluaran.

Katanya, keadaan tersebut boleh mempengaruhi kos sara hidup dan operasi sektor tertentu di Malaysia sekiranya harga tenaga kekal tinggi dalam tempoh panjang.

“Selain kenaikan harga minyak, kesan lebih luas termasuk peningkatan tekanan inflasi global akibat kos pengangkutan dan pengeluaran yang lebih mahal.

“Ini boleh meningkatkan harga makanan, barangan import dan kos logistik sekali gus memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, sebarang ketegangan geopolitik yang menjejaskan pengeluaran minyak dunia berpotensi mencetuskan kesan rantaian terhadap harga barangan dalam negara.

Katanya, walaupun konflik tersebut tidak memberi kesan secara langsung kepada bekalan makanan dan keperluan harian, namun peningkatan kos bahan api akan memberi tekanan kepada keseluruhan struktur harga pasaran.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat