CYBERJAYA – Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa kerajaan tampil lebih proaktif dalam menghargai pengorbanan keluarga Truper K. Indiran yang meninggal dunia ketika mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan pada 19 Februari lalu.
Menurut beliau, pemergian anggota berusia 22 tahun itu wajar mendapat perhatian serius semua pihak, khususnya memandangkan latar belakang keluarganya yang telah kehilangan dua ahli dalam khidmat pertahanan negara dalam tempoh kira-kira satu dekad.
Mendiang dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya ketika menerima rawatan.
Lebih menyentuh hati, Indiran merupakan anak kepada mendiang Mejar C. Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T pada tahun 2016 ketika bertugas.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu menyediakan bantuan menyeluruh, pengiktirafan rasmi serta jaminan kebajikan jangka panjang kepada ibu mendiang, Puan S. Usha, yang kini kehilangan kedua-dua insan tersayang.
“Beliau bukan sekadar kehilangan suami, tetapi kini juga seorang anak yang gugur ketika sedang berkhidmat untuk negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan yang telus mengenai punca kejadian bagi memastikan keadilan kepada keluarga serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
Setiap anggota yang menyarung uniform negara, katanya, berhak menjalani latihan dalam persekitaran yang selamat.
Beliau turut menyambut baik pengumuman Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, bahawa satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kematian tersebut secara menyeluruh, namun menegaskan langkah susulan yang lebih proaktif perlu diambil kerajaan.
Tambahnya, hasil siasatan termasuk laporan bedah siasat perlu diumumkan secara telus, khususnya bagi memastikan tiada unsur buli, penderaan atau faktor lain yang boleh dikaitkan dengan kematian anggota berkenaan.
Beliau juga menzahirkan simpati terhadap ketabahan Puan S. Usha yang terpaksa menghadapi dua kehilangan besar dalam tempoh kira-kira sepuluh tahun.
“Negara tidak boleh sekadar melihat dan bersimpati dari jauh. Pengorbanan seperti ini menuntut tindakan yang nyata,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan perlu membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan anggota pertahanan negara benar-benar dihargai bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui langkah konkrit dan bermakna.



