BERSATU Balik Pulau Tidak Terbubar – Ketua Bahagian Perjelas Fasal 18.11

BALIK PULAU, – Tindakan 11 Ahli Jawatankuasa (AJK) BERSATU Bahagian Balik Pulau meletakkan jawatan dan keluar parti secara serentak tidak menyebabkan jawatankuasa bahagian itu terbubar seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau, Harris Idaham Rashid, menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas kerana tidak memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Fasal 18.11 Perlembagaan parti.

Menurut beliau, fasal berkenaan dengan jelas menyatakan pembubaran hanya berlaku sekiranya kesemua ahli jawatankuasa berhenti secara serentak.

“Jika kesemua Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian berhenti serentak maka Majlis Pimpinan Tertinggi akan mengadakan Persidangan Khas Bahagian untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya,” katanya memetik peruntukan tersebut.

Beliau menjelaskan jumlah keseluruhan Ahli Jawatankuasa Bahagian adalah 24 orang, manakala korum mesyuarat ditetapkan separuh daripada jumlah itu, iaitu 12 orang.

“Apabila 11 meletakkan jawatan, masih berbaki 13 ahli jawatankuasa. Ini bermakna jawatankuasa bukan sahaja tidak terbubar, malah masih mempunyai korum mencukupi untuk bermesyuarat serta membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sekumpulan 11 AJK mengeluarkan surat bertarikh 15 Februari 2026 memaklumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan di peringkat bahagian dan cawangan serta pengisytiharan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Dalam perkembangan sama, Harris turut memaklumkan dua individu yang menandatangani surat tersebut didakwa tidak lagi memegang jawatan pada tarikh surat itu dikeluarkan.

Menurutnya, Azhar telah dipecat sebagai Bendahari pada 14 Februari 2026, manakala Naeem digugurkan daripada jawatan Ketua ARMADA pada tarikh yang sama.

“Namun mereka masih menandatangani dokumen berkenaan menggunakan jawatan yang telah digugurkan,” katanya.

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa BERSATU Bahagian Balik Pulau yang berlangsung pada 17 Februari 2026 memutuskan untuk terus menyokong kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bahagian itu juga menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan dan memperjuangkan idealisme serta prinsip perjuangan parti seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Harris menegaskan kepimpinan bahagian bagi sesi 2024/2027 kekal berfungsi dan akan terus menjalankan tanggungjawab demi memastikan kestabilan organisasi serta kekuatan parti di peringkat akar umbi.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat